Me & My WiFe!!

Me & My WiFe!!

Friday, May 6, 2011

VIP SOMBONG DE MEKAH





MENJADI lumrah dalam kehidupan bahawa pangkat dan status menjadi buruan dan kebanggaan. Lantaran itu, kita sering diingatkan agar tidak bermegah-megah serta menggunakan kedudukan itu ketika mengerjakan haji.


Namun, masih ramai yang terlupa perkara ini. Golongan seperti ini bukan saja masih mahu mengekalkan status, malah dilayan dan diberi keutamaan bersesuaian dengan kedudukan mereka. Mereka langsung tidak memikirkan bahawa tindak-tanduk mereka itu akan mendatangkan kesan terhadap diri sendiri.

Mungkin perkara ini tidak terlintas langsung pada fikiran Berseri (bukan nama sebenar) yang mempunyai pangkat dan gelaran ketika mendaftar untuk menunaikan fardu haji beberapa tahun lalu.

Memandangkan suaminya memegang jawatan penting dalam kerajaan, beliau berasa semestinya mereka sepatutnya mendapat layanan yang berpadanan dengan pangkat dan kedudukan mereka dalam masyarakat.

Disebabkan itulah apabila permohonan mereka untuk mengerjakan haji beberapa tahun lalu diterima, dia terus meminta supaya mereka diletakkan dalam senarai VIP Lembaga Tabung Haji.

“Bang, kita ni kan antara orang kenamaan negara. Tak salah rasanya kalau kita minta supaya jadi VIP Tabung Haji. Lagipun takkanlah kita nak duduk sama-sama dengan orang kebanyakan. Kita kena jaga juga status kita,” kata Beseri (bukan nama sebenar)dengan bangga.

Tanpa banyak bicara, suaminya Berseru (bukan nama sebenar) bersetuju dan terus menghubungi Tabung Haji.

Oleh kerana Tabung Haji memang menyediakan kemudahan seperti itu untuk orang kenamaan yang menunaikan haji, permintaan suami isteri itu diperkenankan.

Apabila tiba musim haji, mereka berangkatlah ke tanah suci. Mereka meminta diberikan penerbangan yang akhir dan terus ke Makkah, walaupun ketika itu kebanyakan orang kenamaan berada di Madinah.

Gembira sungguh hati mereka kerana ketika di Makkah mendapat layanan seperti mana VIP Tabung Haji lainnya, biarpun dia hanya membayar harga haji muassasah. Sepatutnya dengan harga itu, mereka duduk berkongsi bilik dengan orang awam lain. Tetapi sebagai VIP Tabung Haji, bersesuaian dengan gelarannya, mereka ditempatkan di bilik hotel dan diberi layanan istimewa.

Bukan saja bilik penginapan selesa dan istimewa, malah makanan dan minuman juga sentiasa terhidang. Jika terasa malas hendak turun makan, minta saja pelayan menghantar ke bilik. Badan tidak letih dan tidak perlu beratur untuk mendapatkan makanan seperti jemaah muasasah lain.

“Awak tahu Datin. Inilah untungnya bila kita punya pangkat dan kedudukan. Di mana-mana orang hormat dan beri layanan istimewa.

“Tak boleh saya bayangkan macam manalah kalau terpaksa duduk berhimpit-himpit dalam bilik kecil di pangsapuri yang disediakan. Dah tu terpaksa pula beratur lama untuk ambil makanan. Tentu tak selesa,” katanya pada temannya yang sama-sama mengerjakan haji tahun itu.

Seminggu di Makkah, muka Berseri sentiasa berseri. Senyumnya hingga ke telinga dan hatinya sentiasa berlagu ria. Ternyata beliau cukup berpuas hati dengan layanan yang diterimanya.

Tiba saat untuk berangkat ke Mina dan Arafah, layanan yang diterima juga tiada cacat celanya dan Berseri berasa ibadahnya cukup sempurna. Mulutnya sentiasa memuji-muji Tabung Haji kerana memberikan layanan istimewa kepada VIP seperti dirinya.

Selesai mengerjakan rukun haji, suaminya membuat keputusan untuk terus pulang ke tanah air. Namun, Berseri berasa masih belum puas. Dia meminta izin agar suami membenarkan dia tinggal seminggu dua lagi untuk ke Madinah.

Setelah diyakinkan oleh isterinya, Berseru berangkat pulang ke tanah air.

Berseri tidak lupa memanjatkan kesyukuran kerana suaminya mempercayai dan membenarkan dia terus mengerjakan ibadat untuk beberapa ketika lagi. Dia tidak sabar-sabar hendak ke Madinah. Dia mahu beribadah dengan sempurna sebagaimana di Makkah dan yakin keselesaan yang diberikan oleh Tabung Haji akan memudahkannya beribadah apabila di sana nanti.

Perjalanan ke Madinah terasa begitu panjang baginya. Dia bukan saja terpaksa melalui satu perjalanan yang panjang dalam bas bersama jemaah lain, malah terpaksa melalui pemeriksaan muassasah yang panjang.

Hatinya mula panas kerana berasa dalam kedudukannya dia tidak patut melalui semua itu. Namun, kemarahan itu masih dapat diredakan. Nasib baik juga ada rakannya di sini, sekurang-kurangnya hilanglah sedikit rasa bosan dan marahnya.

Sampai saja ke Madinah waktu sudah menghampiri tengah malam. Keletihan dan rasa mengantuk menyebabkan Berseri terus menuju ke bilik hotel tanpa menghiraukan barang miliknya.

“Ah, biarlah orang Tabung Haji uruskan. Akukan VIP,” bisik Berseri dalam hati.

Ketika melalui lobi hotel, dia melihat orang ramai berkerumun membaca notis peraturan waktu makan dan minum yang ditampal oleh Tabung Haji.

Berasa dirinya orang kenamaan yang sentiasa mendapat layanan terbaik, dia tidak menghiraukan semua itu. Dia yakin sebagai seorang yang berstatus, semuanya akan diuruskan oleh Tabung Haji sebagaimana di Makkah dulu.

Langsung dia tidak menyangka keadaan akan menjadi sebaliknya.

Memandangkan kebanyakan orang kenamaan sudah tidak lagi berada di Madinah ketika itu kerana mereka sudah berada di sana lebih awal, Tabung Haji tidak lagi menyediakan layanan istimewa sebagaimana di Makkah.

Mereka hanya menyediakan penginapan yang selesa, serta menghantar dan mengambil semula segelintir orang kenamaan yang masih berada di Madinah. Itu saja.

Namun kerana kesombongannya, Berseri tidak mahu bertanya dan percaya bulat-bulat yang dia akan terus menerima layanan istimewa.

Keesokan harinya, selepas selesai solat Subuh, tanpa mempedulikan jemaah haji yang berduyun-duyun membanjiri dewan makan, dia terus ke biliknya.

Namun setelah puas menunggu, sarapan pagi masih belum juga dihantar. Rasa letih, yang belum hilang bercampur dengan rasa lapar membuatkan hatinya marah.

“Rasa-rasanya sarapan tak dihantar ke bilik. Kita kena turun ke untuk makan,” kata rakannya.

"Eh, mana boleh. Masa di Makkah dulu dia orang hantar ke bilik. Di sini, pun mesti macam tu juga. Kita ni VIP,” balas Berseri.

Selepas tidak sanggup menunggu lebih lama lagi, rakannya mendapatkan penjelasan daripada wakil Tabung Haji. Benar tekaannya, semua jemaah, termasuk VIP perlu turun makan di bawah.

Tidak lama kemudian Berseri turun ke dewan makan. Wajahnya masam mencuka. Dengan marah dia memanggil dan memarahi pelayan kerana tidak menghantar makanannya.

Pelayan itu cuba menerangkan kedudukan sebenar, tetapi Berseri tidak peduli. Dia terus melepaskan rasa marah dan geramnya. Mulutnya membebel-bebel dan memaki-maki. Dengan kuasa Allah, tiba-tiba dia diserang batuk teruk hingga suaranya hampir tidak kedengaran.

Namun, itu masih tidak menyedarkannya. Dia terus membebel, malah membesar-besarkan perkara itu hingga ke pejabat Tabung Haji.

Ketika kerani yang bertugas cuba menerangkan kedudukan sebenar, kerani itu pula dimarahnya. Dia juga tidak putus-putus mengungkit agar diberi layanan istimewa semata-mata kerana di tanah air dia orang berpangkat.

Kisahnya mengamuk dan meninggi diri sampai ke pengetahuan jemaah lain. Mereka kurang senang dengan sikap hidung tingginya yang terus mengagungkan pangkat dan status walaupun ketika berada di tanah suci.

Berseri sedih apabila memikirkan bagaimana dirinya disanjung dan diberi layanan istimewa bersesuaian dengan statusnya di tanah air.

Tetapi di sini, dia berasa tidak ubah seperti kera sumbang. Akhirnya kerana tidak tahan lagi, selepas lima hari di Madinah, dia meminta untuk pulang ke Malaysia.

Sesungguhnya kita perlu ingat bahawa tujuan ke tanah suci untuk beribadat. Di sana semua manusia adalah sama, oleh itu, tinggalkanlah segala pangkat atau status.

Janganlah, kerana mementingkan semua itu kita mengundang kemarahan Allah dan jemaah Islam lain.

3 comments:

Izzuddin Fauzi said...

....

myetech9[dot]com @ Enchik Nine

zam said...

memang melampau.... huhuhu

Suhaizal said...

lebih gembira klu jd VIP di akhirat kelak.. VIP dunia x menjamin syurga..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...