Me & My WiFe!!

Me & My WiFe!!

Friday, May 6, 2011

ANAK ABAIKAN IBU DI MEKAH

kaabah.jpg
“APALAH mak ini, saya datang sini untuk beribadat, kalau saya jaga mak di hospital ini, sia-sia saya datang sini. ” Kata-kata Sofian begitu menikam perasaan ibunya, Zainab.

Sebelum tiba di Makkah lagi, sikap Sofian yang tidak mempedulikan ibunya benar-benar menyinggung perasaan Zainab. Tetapi Zainab tidak ada pilihan lain selain mengharapkan perhatian dan bergantung harap kepada anak tunggalnya itu.

Sejak tahun lalu lagi, Zainab menunggu masa untuk menunaikan ibadat haji bersama suaminya, tetapi beberapa minggu sebelum mereka berangkat ke Tanah Suci, suaminya, Johan menghembuskan nafas terakhir akibat serangan jantung.

Ketika itu, Zainab masih dalam tempoh edah, hasratnya terpaksa dibatalkan sementara menunggu peluang ke Makkah tahun berikutnya.

Walaupun perasaannya sedih dan pilu kehilangan suami tersayang, Zainab masih mempunyai seorang anak yang diharapkan dapat menggantikan tempat arwah suaminya terutama menjaga dan membantunya ketika di Makkah.

Zainab sanggup membiayai segala perbelanjaan anaknya dengan harapan ada orang yang akan menjaganya jika berlaku masalah yang tidak diingini ketika berada di sana.

Tetapi harapan Zainab menjadi hancur berkecai mengenangkan sikap Sofian yang awal-awal lagi sudah tidak mempedulikan dirinya. Malah, sewaktu semua jemaah haji berkumpul di Kelana Jaya, Sofian malu untuk berjalan seiringan dengan ibunya.

“Mak, biar saya jalan di belakang, mak jalanlah dulu. saya malu, saya ini kan masih muda lagi. Biar saya jalan dengan orang-orang muda,” kata Sofian.

Dengan rasa sedih, Zainab berjalan sendirian di depan sambil termanggu-manggu. Apabila semua jemaah sudah berada di dalam kapal terbang, Zainab masih tercari-cari di mana tempat duduk anaknya.

Suasana lampu malap di dalam kapal terbang menyukarkan Zainab mengecam di mana Sofian. Tiba-tiba satu suara mengejutkan Zainab: “Mak! Mak!, mak buat apa ni. Mak cari siapa? Duduklah diam-diam di depan itu”.

“Eh! mak cari kau lah,” jawab Zainab sambil menahan rasa malu kerana ditengking depan jemaah lain. Sikap Sofian yang agak biadab itu menyebabkan jemaah yang menyaksikan gelagat dua beranak itu menggeleng-geleng kepala.

Selepas tiba di Makkah, Zainab teruji lagi. Dalam keadaan berihram umrah Zainab jatuh sakit sehingga dia dimasukkan ke wad hospital Tabung Haji kira-kira tujuh kilometer dari bandar Makkah.

Sofian tidak mempedulikan keadaan yang menimpa ibunya. Dia asyik dengan umrahnya. Tetapi selepas pihak Tabung Haji cuba mengesan waris melalui buku rekod Zainab, barulah Sofian muncul.

“Pian, tunggu mak kat sini. Mak tak ada sesiapa lagi melainkan engkau. Mak nak cakap dengan siapa. Kalau engkau ada boleh juga mak tanya apa-apa yang mak tak faham lagipun mak belum lagi tawaf dan saie umrah,” rayu ibunya.

“Mak, takkan saya nak duduk dengan mak di wad perempuan ini. Lagipun saya dah mula seronok dengan kawan-kawan di bilik penginapan,” ujar Sofian.

Mendengar perbualan dua beranak ini, seorang doktor yang sedang bertugas menyapa: “Kami sudah dua tiga kali Tabung Haji lantik untuk bertugas di sini, biasanya dalam kes begini, seseorang itu jatuh sakit bukan kerana tidak cukup ubat atau kurang peralatan tetapi sakit akibat tidak diubati oleh seseorang ataupun emosinya yang sakit,” kata doktor memberi peringatan kepada Sofian.

“Rugi datang sini kalau nak jaga emak saya, doktor,” kata Sofian.

“Apa pula ruginya, kau datang sini pun duit mak dan arwah ayah kau yang biayai,” jawab Zainab yang tidak mampu lagi menahan sikap bongkak anaknya.

Kenyataan ibunya membuatkan hati Sofian tersinggung seketika dan rasa malu. Apabila beransur pulih, Zainab dibawa balik ke Makkah dengan ambulans, sekali lagi Sofian enggan menemani ibunya. Sampai di Makkah, Zainab yang berniat umrah terpaksa melakukan tawaf dengan menggunakan kereta sorong.

Zainab menghadapi kesulitan apabila Sofian tetap berkeras dengan sikapnya. Sofian berpandangan tidak akan mendapat pahala tawaf jika dia membantu menolak kereta sorong ibunya kerana dia tidak berniat umrah.

Sedangkan mengikut pandangan beberapa mazhab, menolak seseorang semasa melakukan tawaf tidak akan menjejaskan pahala seseorang, yang tidak dibolehkan ialah mengendong atau mendukung.

Oleh kerana Sofian masih berkeras untuk melakukan tawaf sendirian, Zainab terpaksa secara rahsia mengupah seseorang petugas Indonesia dengan mengeluarkan sebanyak RM700 iaitu upah tawaf dan saie.

Apabila Sofian mendapat tahu, dia memarahi ibunya: “Mak, apa pasal nak buang duit saja ini, RM700 itu banyak. Bukan ke saya dah bagi tahu, biar saya buat tawaf dulu, kemudian saya tolonglah mak pula,” tidak semena-mena pula Zainab dimarahi.

Doktor yang menyaksikan dialog ibu dan anak itu begitu simpati: “Menjaga ibu lebih banyak pahala daripada awak buat umrah sunat. Jaga mak awak ini wajib,” kata doktor menasihati Sofian.

“Doktor, biarkanlah anak saya itu, dia nak buat apa suka hati dialah,” jawab Zainab dengan nada yang amat kecewa.

Selang beberapa hari, iaitu pada hari keenam bulan Zulhijjah, Sofian ditimpa demam panas yang teruk. Sebelum itu dia berkeras untuk mencukupkan tujuh kali ibadat umrah walaupun pihak Tabung Haji melarangnya berbuat demikian.

Sofian dikejarkan ke hospital yang sama dengan ibunya. Perkara sebaliknya berlaku apabila ibunya pula sudah pulih. Apabila Zainab mendapat berita keadaan anaknya, dia tidak terkejut.

“Mak cik, bagaimana dengan anak mak cik ini. Dia tidak boleh bangun dan memerlukan ambulans untuk pergi mengerjakan wukuf,” kata doktor kepada Zainab.

Walaupun hati Zainab tercalar dengan perbuatan anaknya, naluri keibuan tidak dapat menghalang rasa simpati terhadap Sofian. Zainab mengambil keputusan untuk menemani Sofian.

Ketika itulah, hati Sofian benar-benar rasa insaf dengan perbuatannya selama ini. Walaupun kedua beranak itu sempat menunaikan ibadat haji, namun bagi Sofian, timbul rasa menyesal kerana selama ini Allah memberikan nikmat kesihatan untuk mengerjakan umrah yang hanya perkara sunat.

Akhirnya mereka memohon untuk pulang awal dari jadual disebabkan keadaan kesihatan.

1 comment:

RHI said...

satu kisah cerita teladan yg baik untuk kita yg bergelar anak...dan semoga kita menjadi anak yg soleh

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...