Me & My WiFe!!

Me & My WiFe!!

Saturday, May 14, 2011

PUTUS KWN KRN PERANGAI BURUK





APABILA seseorang sudah bertekad untuk menunaikan ibadat haji, mereka bukan saja patut menggandakan ibadat ketika di rumah tetapi sepatutnya belajar bergaul kerana rakan anda di Tanah Suci nanti kemungkinan bukan rakan sekampung.

Jika anda seorang yang panas baran atau pengotor sepatutnya berusaha mengubah kepada perangai yang lebih positif kerana di Makkah adalah kawasan yang sesak. Tinggal di kawasan ramai atau sesak, menuntut lebih sabar.

Minggu ini, kami ingin ketengahkan kisah seorang lelaki yang meletakkan semua tanggungjawab kepada Tabung Haji. Beliau beranggapan apabila seseorang menunaikan ibadat haji adalah menjadi tanggungjawab agensi untuk mengingatkan jemaah setiap masa.

Walaupun terpilih menjadi jemaah, lelaki ini tidak banyak pengetahuan mengenai rukun dan wajib haji. Beliau beranggapan menjadi tanggungjawab Tabung Haji untuk mengingatkan jemaah apa yang patut dilakukan setiap masa.

Apabila tiba di Makkah, lelaki itu ditempatkan di bilik yang berisi enam orang. Hal ini begitu asing kerana di rumahnya yang besar hanya berisi empat orang. Di Makkah, di bilik yang sempit terisi enam orang. Ini satu dugaan pertama.

Lelaki ini seorang perokok tapi dia tidak suka kepada pengotor. Orang lain pun tidak suka kepada pengotor tetapi kadangkala mereka bertolak ansur kerana suasana di Makkah tidak sama dengan di kampung. Ia kawasan padat dengan manusia.

Apabila ada sedikit sampah, lelaki itu bising padahal dia lupa dirinya seorang perokok. Jika dia tidak suka kepada orang yang buat kotor, rakannya juga tidak suka pada lelaki itu yang menghisap rokok di merata tempat. Akhirnya, rakan sebilik memboikot lelaki itu kerana sikapnya tidak mahu bertolak ansur.

Pada suatu hari berlaku masalah ketiadaan air di bilik hotel. Ramai yang tidak mandi pada hari itu. Mereka yang ingin membuang air besar, terpaksa berlari ke tandas masjid.

Disebabkan lelaki itu tidak bertegur sapa dengan rakan sebilik, dia tidak banyak mengetahui kejadian di bilik penginapan mereka. Beliau tidak sedar, berlaku kejadian terputus bekalan air. Dia lebih suka menggunakan bilik air pada sebelah malam ketika rakannya sudah tidur.

Bagaimanapun kerana berlaku satu pergaduhan besar antara lelaki itu dengan rakan sebiliknya, Tabung Haji tidak mempunyai pilihan dan lelaki itu ditempatkan di bilik khas yang biasanya untuk menempatkan orang sakit.

Walaupun beliau membantah tindakan Tabung Haji tetapi akhirnya terpaksa akur kerana beliau tidak ingin tinggal bersama rakan sebiliknya dulu. Apabila tiba musim jemaah ingin berangkat ke Arafah, lelaki itu masih tidak bersungguh-sungguh. Lelaki itu tidak begitu arif mengenai rukun dan wajib haji.

Pada masa sama, beliau tidak ingin bertanya kepada rakan yang lain. Ketika jemaah berpusu-pusu menaiki bas, lelaki itu masih memberi perhatian kepada perkara lain. Ketika itu, petugas Tabung Haji sudah mengingatkan jemaah yang sudah berihram supaya berniat untuk ke Arafah.

Disebabkan lelaki itu tiada di atas bas, beliau tidak sedar arahan sudah diberikan.

Ketika bas sudah berjalan menuju ke Arafah, petugas Tabung Haji bercerita mengenai hal berkaitan Arafah. Beliau menekankan kepada jemaah yang sudah berniat supaya menahan diri daripada melakukan perkara yang tidak sepatutnya dilakukan.

Alangkah terkejutnya lelaki itu apabila menyedari semua jemaah sudah berniat tetapi beliau belum berbuat demikian. Lelaki itu memarahi petugas Tabung Haji kononnya tidak memaklumkan hal itu pada jemaah. Padahal petugas sudah menjelaskan dan semua jemaah sudah berniat.

Dengan muka merah, lelaki itu menyergah petugas Tabung Haji. Bagaimanapun, beliau ditenangkan oleh petugas lain dan diperjelaskan secara terperinci.

Petugas mengatakan, jemaah masih boleh berniat tetapi dia dikenakan dam kerana berniat di luar miqat. Bagaimanapun dari pahala haji luput, dia memilih membayar dam.

Selepas diberi kaunseling dengan panjang lebar dan diceritakan hikmat dari ibadat haji oleh beberapa petugas, lelaki itu mula insaf atas kesalahannya. Selama ini dia sudah kehilangan kawan kerana sifat buruknya.

Apabila pulang dari Arafah, lelaki itu mula insaf. Ketika di Makkah, beliau banyak bertaubat atas kesalahannya.

Iktibarnya, dengan ibadat haji sepatutnya hubungan persaudaraan kita makin kukuh kerana memperoleh rakan baru. Jika kita tidak peroleh kawan tetapi mendapat musuh di Tanah Suci, itu menandakan ada sesuatu yang tidak kena dengan ibadat kita.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...