Me & My WiFe!!

Me & My WiFe!!

Saturday, May 14, 2011

BERTUDUNG SELEPAS MIMPI NGERI







Tiba-tiba saya merasa sesak nafas dan sakit seperti nyawa mahu dicabut keluar. Saya terjaga daripada tidur tetapi masih terasa sakit dan sesak nafas. Saya panik. Ya Tuhan! Mungkinkah saya akan menghembuskan nafas yang terakhir pada malam ini juga?

Profesion saya sekarang ialah pengurus syarikat dan saya lulusan luar negara. Saya mula memakai tudung pada tahun 1994 iaitu ketika berusia 24 tahun. Terus terang saya katakan, memang sebelum itu saya tidak pernah terfikir hendak memakai tudung. Apabila ditanya oleh kawan-kawan, saya cuma menjawab, "Nantilah, suatu hari nanti mungkin saya pakai."

Ada juga kawan-kawan yang prihatin mengingatkan saya mengenai ajal dan maut yang bukannya boleh ditangguhkan. Kalau tiba-tiba ajal saya sudah sampai, tidak sempat pula saya hendak memakai tudung dan bertaubat. Risau juga saya mendengar kata-kata mereka tapi... entahlah, masih tidak terbuka hati.

Sehinggalah tiba-tiba pada suatu malam Jumaat saya mengalami mimpi yang menakutkan. Dalam mimpi itu saya nampak semua adik beradik, saudara mara dan kawan-kawan saya, tetapi tidak ada seorang pun yang nampak saya. Mereka bercakap sesama sendiri tetapi langsung tidak menghiraukan saya, seolah-olah saya tidak wujud lagi. Kemudian barulah saya diberitahu saya berada di alam lain dan akan menemui ajal saya pada hari itu. Saya dibawa ke situ hanya untuk diberitahu yang saya hanya menunggu masa akan mati tetapi tidak diketahui waktunya dan caranya. Jadi, saya berada dalam keadaan cemas sepanjang hari kerana tidak tahu apabila saatnya dan bagaimanakah cara saya akan mati.

Saya kemudian menaiki kereta menuju ke lapangan terbang kerana saya perlu menuju ke suatu tempat bagi menjalankan tugas. Dalam perjalanan, saya terfikir mungkin saya akan kemalangan sebentar lagi dan terus mati. Saya berdebar-debar, tetapi akhirnya selamat sampai ke lapangan terbang. Apabila kapal terbang berlepas, saya terfikir mungkin kapal terbang ini itu akan terhempas dan saya akan mati. Saya menjadi begitu cemas sehinggalah kapal terbang selamat mendarat. Tiba-tiba saya merasa sesak nafas dan sakit seperti nyawa mahu dicabut keluar. Saya terjaga daripada tidur tetapi masih terasa sakit dan sesak nafas. Saya panik. Ya Tuhan! Mungkinkah saya akan menghembuskan nafas yang terakhir pada malam ini juga?

Cepat-cepat saya bangun, ambil wuduk dan sembahyang sunat. Tidak henti-henti saya membaca macam-macam ayat al-Quran, tetapi kesakitan yang dirasai semakin perit. Tanpa menanggalkan telekung saya baringkan diri di atas katil. Saya rasa diri saya seperti sekujur mayat di dalam telekung putih itu. Saya tidak tahan lagi dengan kesakitan itu, lalu saya memohon doa, "Ya Tuhan, sekiranya engkau mahu mencabut nyawaku engkau berilah masa bagiku bertaubat dan aku berjanji akan memakai tudung suatu hari nanti."

Tiba-tiba kesakitan itu semakin menjadi-jadi dan sambil menangis saya berjanji akan memakai tudung pada minggu hadapan. Tetapi tekak saya bagai disentap dan tekak saya semakin perit. Saya tidak tahan lagi lalu berjanji saya akan memakai tudung keesokan harinya. Tanpa disangka, semua kesakitan itu hilang dengan sekelip mata.

Saya betul-betul terkejut, tidak dapat berkata apa-apa dan tersandar di hujung katil dalam keadaan yang masih takut. Saya berkeadaan begitu hinggalah masuk waktu subuh. Selesai sembahyang subuh, saya terus mencari tudung di dalam almari untuk dipakai ke pejabat pada pagi itu juga. Itulah hari pertama saya memakai tudung, sudah tentulah kawan-kawan saya terkejut kerana saya tidak pernah menyuarakan hasrat hendak bertudung sebelum ini. Sepanjang hari itu saya menjadi pendiam, sedih, takut dan cemas kalau-kalau saya mati pada hari itu juga.

Walau bagaimanapun, saya berasa bersyukur kerana menjadi hamba Tuhan yang terpilih untuk diberi hidayah dengan cara sebegitu. Apabila saya melihat kawan-kawan yang belum bertudung, saya berasa sedih kerana mereka tidak tahu dan tidak mempedulikan apa yang menanti mereka di kemudian hari. Saya bernasib baik kerana diberi petunjuk.

Apa yang boleh saya katakan daripada mimpi saya alami, tidak dapat saya bayangkan ketakutannya apabila saya benar-benar mengetahui bilakah ajal saya akan sampai. Jadi, bersedialah, ajal kita mungkin akan sampai pada bila-bila masa saja, sesaat pun tidak akan tertangguh apabila ajal sudah sampai.

Dipetik daripada buku "Bagaimana Akhirnya Saya Bertudung" terbitan PTS Publications & Distributors Sdn Bhd

2 comments:

Mohd Yusuf said...

Ini cerita daripada penulis blog nie atau dipetik dari buku???

tapi bagus la, moga ramai lagi wanita-wanita akan memakai tudung dan menutup aurat yang sempurna...

Suhaizal said...

blog nie byk diambil dr buku2 n blog2 lame..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...