Me & My WiFe!!

Me & My WiFe!!

Friday, May 13, 2011

JEMAAH HAJI TERSESAT

sungai-nil-nb-musa.jpg
Himpunan Kisah Benar oleh Daud Che Ngah

AZHAR dan Milah pergi ke tanah suci Makkah dengan penerbangan pertama beberapa minggu sebelum musim haji bermula.

Keadaan mula sesak dan sibuk dengan orang ramai di sana sini, tidak seperti waktu mula-mula mereka sampai dulu.

Namun, ia tidak mengganggu pasangan berusia 50-an itu malah mereka berasa cukup gembira kerana ia membawa makna musim haji semakin hampir.

Kedua-duanya semakin tawaduk mengerjakan amal ibadat.

Suatu hari, tiba-tiba timbul keinginan Azhar untuk pergi ke Mina. Walaupun tiada yang mahu menemaninya, hatinya melonjak untuk pergi.

Rupa-rupanya, itulah kali terakhir Milah bercakap atau melihat Azhar. Suaminya tidak muncul semula selepas itu hingga menjelang senja.

Milah bimbang sesuatu yang tidak diingini terjadi pada Azhar. Beliau akhirnya ditemani beberapa jemaah lain membuat aduan kepada pegawai Tabung Haji mengenai kehilangan Azhar.

Tabung Haji cuba mengesan Azhar di celah jutaan umat Islam yang berkumpul di Makkah termasuk mengedarkan gambarnya di setiap tempat termasuk semua kawasan penginapan jemaah Malaysia namun masih tidak mendatangkan hasil.

Hati Milah bertambah sedih dan bimbang.

Pada hari ke-14 kehilangan Azhar, Milah yang sedang bersiap sedia mengerjakan sembahyang Zuhur terkejut apabila didatangi dua pegawai Tabung haji memberitahu bahawa Azhar sudah ditemui dan kini berada di hospital.

Milah bergegas ke hospital untuk bertemu dengan suaminya.

Keadaan Azhar sihat walaupun dalam keletihan dan tidak bermaya. Menurut doktor, sejak dimasukkan ke hospital, Azhar tidak berkata sepatah pun dan enggan menjawab pertanyaan yang diajukan kepadanya, seolah-olah tidak ingat ke mana dia pergi sepanjang dua minggu lalu.

Hanya kepada Milah, dia bercerita. Katanya, dalam perjalanan ke Mina, dia terlihat sebatang anak sungai yang begitu jernih airnya dan begitu tertarik hendak mandi air sungai itu.

“Air sungai itu sejuk dan menyegarkan. Seronok betul saya dapat mandi dan membersihkan badan di dalamnya. Airnya terasa begitu manis. Jadi, apabila terasa dahaga atau letih, saya minum air itu. Ia bukan hanya menghilangkan dahaga malah mengembalikan tenaga yang hilang,” katanya.

Azhar beriya-iya menafikan beliau hilang selama 14 hari.

“Isyy!! mana ada. Mengarut betul awak ini Milah. Saya hanya pergi mandi beberapa jam saja. Sehari pun tidak sampai,”, katanya.

Milah terdiam mendengar cerita suaminya. Dia hairan kerana tubuh Azhar masih sihat tanpa masalah walaupun sudah hilang dua minggu lamanya.

Jika sudah sesat dan tidak makan apa-apa selama dua minggu, pasti tubuhnya sudah kurus kering, silap hari bulan ajal datang menjemput. Begitu juga dengan kain ihram yang dipakainya, masih elok dan putih tanpa sebarang kekotoran. Sepatutnya ia sudah kotor dan berdebu kerana digunakan tanpa henti selama dua minggu.

Namun, apa yang diceritakan Azhar memang tidak masuk akal kerana Mina bukanlah kawasan subur, tidak ada anak sungai di situ hanyalah bukit bukau yang berbatu.

Tambahan pula, sewaktu ditemui Azhar sedang duduk di dalam sebuah terowong di Mina. Dia tidak bercakap sewaktu ditanya tetapi daripada perlakuannya, orang boleh mengagak bahawa Azhar sudah tersesat.

Beliau dihantar ke pihak pengurusan Tabung Haji berdasarkan rantai tangan yang dipakainya.

Sebagai umat Islam, kita tidak seharusnya berasa hairan dengan apa yang berlaku. Bukankah Allah Maha Berkuasa dan tanah suci Makkah pula adalah sebuah tempat suci?

Allah berkuasa mengadakan apa yang tidak ada. Begitu juga sebaliknya. Yang pasti semua yang berlaku adalah dengan kehendak-Nya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...