Me & My WiFe!!

Me & My WiFe!!

Saturday, May 7, 2011

PENGALAMAN ARTIS2 KE MEKAH

mekah.jpg

BIARPUN sambutannya kurang meriah jika dibandingkan dengan Aidilfitri, namun kehadiran Aidiladha mempunyai keistimewaan dan signifikannya yang tersendiri. Kedatangannya diharapkan menambahkan lagi semangat kita untuk berkorban apa jua yang dimiliki demi agama tercinta.
Ketika ini hampir dua juta umat Islam sibuk mengerjakan ibadat haji di Tanah Suci Makkah. Sempena kehadiran 10 Zulhijah hari ini, Harian Metro mengambil kesempatan untuk menyingkap pengalaman beberapa artis popular tanah air yang pernah mengerjakan umrah dan haji.

Bagi penyanyi veteran Rosiah Chik, kesempatan mengerjakan haji pada 1996 membawa sejuta erti dalam hidupnya. Apa tidaknya pelbagai pengalaman menarik diperoleh sepanjang berada di Tanah Suci Makkah.

“Ketika mula-mula mendaftarkan diri, saya hanya pergi seorang tetapi secara kebetulan saya bertemu saudara dari Johor Bahru yang juga mengerjakan haji tahun sama.

“Sebelum berangkat ke Tanah Suci, penglihatan saya agak kabur. Namun berbekalkan azam, saya kuatkan semangat untuk ke sana dan hanya doa yang tidak henti-henti saya minta kepada Ilahi.

“Tambahan pula pelbagai cerita diberitahu kepada saya. Saya bertawakal kepada Allah kerana ingin menunaikan ibadah dan bukannya melakukan kerja lain.

“Meskipun kesihatan dan penglihatan saya kurang baik, saya bersyukur kerana diberikan peluang mengerjakan ibadah haji dengan sempurna.

“Apa yang menarik, saya pernah berdoa meminta Allah ketemukan saya dengan rakan yang tersesat ketika di Masjid Nabawi. Siapa sangka, doa saya terus dimakbulkan apabila rakan saya yang hilang itu, rupanya berada di sebelah saya,” katanya yang sentiasa teringat memori di tanah suci setiap kali menontonnya di televisyen.

Bagi Aspalela Abdullah pula, dia mengerjakan haji pada 1998 bersama keluarga besar Raja Azura. Pengalaman yang diperoleh di sana amat bermakna dalam hidupnya, malah memori yang terakam sentiasa berlegar di fikiran setiap kali tibanya musim haji.

“Sepanjang berada di sana, saya makan tidak henti-henti. Maklumlah rezeki di sana amat murah dan tidak putus-putus. Bukan hanya di masjid, malah di khemah pun sentiasa ada orang yang bermurah hati bersedekah makanan buat tetamu Allah.

“Setiap kali melihat gambar dan menyaksikan paparan ibadah haji di televisyen, secara automatik ingatan saya kembali segar dan bersemangat untuk ke tanah suci lagi sekiranya berpeluang.

“Paling saya rindukan kedamaian dan ketenangan ketika berada di sana tidak dapat digambarkan dengan kata-kata,” katanya yang turut mengerjakan umrah setiap tahun sejak 1999.

Sementara itu, Azadan dari kumpulan Rabbani pula berkata, dia adalah satu-satunya anggota kumpulan itu yang sudah mengerjakan ibadah haji pada 1996. Anggota yang lain hanya berkesempatan mengerjakan umrah.

“Pengalaman pertama kali menjejakkan kaki ke Tanah Suci Makkah memang meninggalkan kesan manis kepada saya. Ia banyak menguji kesabaran kita sebagai hamba-Nya sama ada benar-benar bersedia atau tidak.

“Di sinilah terujinya diri dengan pelbagai ujian seperti berjauhan dengan keluarga dan lain-lain lantas membuatkan diri kita untuk bertawakal dan mendekatkan diri kepadaNya.

“Kebetulan ketika di sana, terjadi peristiwa kebakaran besar yang turut menjejaskan sebahagian besar khemah jemaah Malaysia di Arafah. Pada waktu itu, saya dapat saksikan sendiri suasana kelam-kabut dan keadaan khemah yang berselerak dengan pelbagai peralatan.

“Situasi ini mendekatkan lagi saya kepada-Nya kerana masih lagi diberi kesempatan dan ruang waktu untuk beribadah kepadaNya,” katanya.

Chef Wan pula berkata, dia bertuah dan teruja kerana dapat menyaksikan sendiri kebesaran Allah ketika berada di Makkah.

“Saya masih ingat lagi bagaimana terharunya saya ketika berhempas pulas mengaji dan menafsirkan Al-Quran sebanyak 30 juzuk ketika berada di sana. Hari terakhir saya khatam Al-Quran adalah ketika wukuf di Arafah.

“Saya menangis teresak-esak kerana Allah makbulkan doa saya untuk khatam Al-Quran. Pelbagai pengajaran saya perolehi ketika mendalaminya.

“Selepas itu, saya berdoa pula seorang diri di Bukit Arafah ketika lewat senja. Ketika khusyuk berdoa, saya dapat menyaksikan sendiri cahaya terang berwarna merah yang terpapar kalimah Allahuakbar menerangi langit. Lantas bercucuran air mata ketika itu kerana melihat sendiri keajaiban dan kebesaran Allah.

“Sewaktu berada di Masjidil Haram pula terdetik di hati saya, bila hujan hendak turun di Makkah kerana keadaannya kering sebelum ini. Lalu tanpa disangka hujan mencurah-curah di Masjidil Haram dan sekali lagi saya sujud kepada-Nya mengucapkan rasa syukur yang tidak terhingga kerana sekali lagi menjadi saksi kebesaran Ilahi,” katanya yang mengerjakan haji kali kedua tahun lalu.

Katanya lagi, sekiranya berpeluang dia akan membawa seluruh ahli keluarganya menunaikan haji bersama-sama. Malah segala keajaiban yang disaksikannya sendiri membuatkan dirinya lebih bermotivasi dan insaf untuk mengerjakan ibadah.

Moga-moga kehadiran Aidiladha ini akan mendekatkan lagi diri kita kepada Allah dan menyemai semangat pengorbanan yang lebih jitu.
Oleh Metro

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...