Me & My WiFe!!

Me & My WiFe!!

Wednesday, May 18, 2011

KERANA SOMBONG JEMAAH NYARIS DITINGGAL




DIANA (bukan nama sebenar) hidup berdikari sejak kecil. Beliau suka melakukan aktiviti lasak dan mencabar seperti beriadah dan mengembara.

Sikap berdikari itu menjadikan beliau tidak takut ke mana dan bertemu siapa saja. Beliau pernah memandu kereta dari Kuala Lumpur ke Melaka dan Melaka ke Kuala Lumpur seorang diri pada jam 2 pagi kerana ingin menikmati keindahan pagi.

Kebetulan pula, beliau berjawatan eksekutif dan bergaji lumayan, yang membolehkannya mengembara ke luar negara seorang diri.

Rasa yakin pada diri yang tinggi itu menyebabkannya sering mengabaikan pertolongan orang lain.

Fikirnya buat apa meminta tolong jika mampu melakukannya. Beliau termakan kesombongan sendiri hingga ketika mengerjakan ibadat haji.

Setibanya di Jeddah, beliau berasa pergerakannya terhad kerana peraturan tidak membenarkan orang perempuan berjalan sendirian tanpa ditemani muhrim.

Peraturan itu mempunyai tujuan baik, namun beliau berasa cukup jengkel dan tidak masuk akal.

Diana yang selalu mendabik dada kerana mampu berdikari dan tidak memerlukan pertolongan orang lain, tidak nampak hikmah di sebalik peraturan itu.

Mungkin Allah hendak mengujinya. Sebelum bertolak ke Masjid Nabawi di Madinah, Diana mengetahui mengenai banyak tempat bersejarah yang dikunjungi melalui buku panduan.

Sebaik tiba, ketua rombongan berpesan supaya anggota rombongan tetap bersama-sama jika ingin ke mana-mana. Diana berasa pesanan itu menyusahkan dan mempunyai rancangan lain.

“Minta maaflah. Saya ada rancangan sendiri. Kita jumpa di tiang dekat pintu masuk masjid jam 4 petang ya!,” kata Diana.

Teman serombongan beliau terpaksa bersetuju walaupun keberatan membenarkan Diana pergi.

Menjelang jam 4 petang, Diana bergegas menuju ke tiang tempat berjanji dengan temannya untuk bertemu, namun selepas puas menunggu, tidak seorang pun daripada mereka muncul hingga jam 6 petang.

Diana mula panik. Dia berasa takut yang amat sangat dan tidak tahu bagaimana untuk menghubungi mereka. Tanpa disedari air matanya menitis.

Bayangan dan cerita buruk yang sering didengar sebelum ini mula timbul apabila teringat larangan yang tidak membenarkan perempuan berjalan seorang diri.

Diana cuba mendapatkan pertolongan tetapi entah mengapa, tiada seorang manusia pun yang berada di situ ketika itu.

Nasib baik, teman-temannya muncul menjelang Maghrib.

Diana terus memarahi mereka kerana mungkir janji.

Namun beliau terdiam apabila seorang daripada mereka menjawab: “Kamu yang silap. Kita bukan berjanji untuk bertemu di sini tetapi di tiang pintu sebelah sana. Nasib baik kami tergerak untuk mencari kamu di sini.”

Ternyata dia yang salah.

Beliau mula sedar bahawa selama ini terlalu sombong dan menganggap dirinya tidak memerlukan bantuan orang lain.

Di Masjid Nabawi itulah, Diana berasa seolah-olah ditegur Allah di atas kesombongannya selama ini. Tanpa berlengah, beliau terus bertaubat memohon keampunan atas kesilapannya selama ini.

Manusia tidak boleh hidup seorang diri. Kita memerlukan teman untuk mengharungi kehidupan yang penuh onak dan duri ini.

2 comments:

puteraduyong said...

dengan siapa kita nak sombong kan...nanti mati orang keliling jugak yang usung jenazah kita...

Suhaizal said...

erm btl.. stuju sgt..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...