Me & My WiFe!!

Me & My WiFe!!

Tuesday, May 17, 2011

AJAL SEBELUM KE MEKAH

masjidil-haram-mekah-saudi-arabia.jpg

Jusuh mati di tempat kejadian selepas terbabit dalam nahas ketika dalam perjalanan bersama isterinya Salmah ke Kompleks Haji Kelana Jaya

JUSUH yang baru bersara mula berjinak-jinak dengan tikar sembahyang dan puasa. Itupun tidak berani solat berjemaah di masjid kerana takut jemaah lain memerhati cara mengambil wuduk dan bersembahyang.

Ketika muda dulu, Jusuh dikenali kawan-kawan sebagai jaguh main nombor ekor dan kadangkala minum arak. Salmah yang kaya hasil pusaka peninggalan orang tuanya terpaksa menyara keluarga. Beliau tidak memerlukan wang suaminya yang bergaji sederhana itu. Dek kerana sayangkan Jusuh, Salmah selalu memberikan wang kepada suaminya. Salmah sangat baik dengan suaminya dan mempunyai dua anak lelaki.

Jusuh tidak pernah kisah dengan anaknya yang semakin membesar. Salmahlah yang mengawal, mengasuh dan membiayai keperluan mereka.

Sewaktu Jusuh hampir bersara, kedua-dua anaknya yang baru habis sekolah menengah memujuk ayah mereka supaya pergi ke Makkah kerana mereka bimbang apabila bersara nanti bertambah kuat ayahnya berjudi.

Mereka malu dengan kawan-kawan yang sering menyindir peribadi bapa mereka. Jika mereka berjaya mempengaruhi ayah mereka ke Makkah, maka beberapa tujuan dan sasaran akan menjadi kenyataan.

Pertama, bapa mereka akan insaf dan, kedua menghapuskan prasangka masyarakat sebagai tahi judi selain memberi ketenangan kepada ibu mereka yang sering mendesak anak-anaknya supaya menyedarkan bapa mereka.

Kini, Jusuh sudah bersara, isterinya memberikan sekeping cek berjumlah RM25,000 supaya segera mendaftar diri di Tabung Haji untuk ke Tanah Suci.

Selepas beberapa lama tidak menemui kawan-kawannya, suatu hari Jusuh ke bandar untuk mendaftar haji, kemudian ke kedai kopi. Sebelum balik dia bertemu tiga rakannya iaitu Hassan, Safuan dan Harun.

“Aku nak ke Makkah tahun depan, jika Tabung Haji luluskan,” katanya.

“Sungguh ke nak ke Makkah? Aku takut engkau mati sebelum haji kerana dosa kau main judi dan minum arak itu berat-berat belaka. Nanti kau tak sanggup pikul lalu mati,” kata Hassan.

Safuan mencelah: “Hassan, engkau ini memang batu api. Orang sudah bertaubat hendak ke Makkah, engkau takutkan pula. Aku ni pun kalau tak main, simpan sikit-sikit dalam Tabung Haji dah boleh pergi ke Makkah,”.

Kata Harun: “Elok sangatlah kita contohi Jusuh. Mulai hari ini aku tak mahu main judi lagi. Aku nak taubat. Apabila aku pencen tahun depan, semua imbuhan aku akan masuk dalam Tabung Haji”.

Hassan memohon maaf dan Jusuh tidak ambil hati. Safuan bertanya dengan ragu-ragu: “Sudah lengkap sembahyang engkau. Setahu aku engkau tidak pernah belajar”.

“Engkau tidak tahu. Sejak aku pencen ini, isteri aku selalu membaca kitab setiap malam kepadaku. Mula-mula aku tidak mahu dengar celotehnya yang kadang-kadang nampak macam menyindir, tetapi mengenangkan beliau selalu menolong, maka lebih baik aku turut cakapnya,” kata Jusuh.

Mereka bersurai. Selepas ini mungkin sukar untuk bertemu lagi kerana Jusuh tidak ke kelab judi lagi.

Selepas mengikuti beberapa kursus haji, barulah Jusuh memahami erti Islam yang sebenar dan kelalaiannya sewaktu muda dulu. Dia mula menggambarkan bagaimana orang berhimpun di keliling Kaabah dengan susah payah hanya kerana Allah. Berbelanja berbelas ribu dengan mengambil masa 40 hari, sedangkan beliau pernah menghabiskan beribu-ribu ringgit hanya untuk semalam.

Sewaktu berkursus haji, ada seorang penceramah yang sangat berwibawa menceritakan bahawa di Padang Mahsyar nanti, bagi orang yang selalu minum arak, main judi dan tinggal solat, mukanya akan menjadi hitam dan diazab di bawah matahari hingga 50 ribu tahun dan kemudian dimasukkan ke neraka.

Mendengar ceramah itu Jusuh tidak dapat tidur. Teringat-ingat kata penceramah tadi jika mati sebelum bertaubat, maka harapan masuk syurga tipis sekali.

Esoknya Salmah bertanya kepada Jusuh: “Abang asyik gelisah dan tidak tidur beberapa malam kenapa?”.

“Takut mati sebelum menunaikan haji,” jawabnya ringkas.

“Isy, merepeklah abang ni. Doktor kata abang tidak ada penyakit berat kecuali darah tinggi. Itupun boleh dikawal melalui makanan. Yang lain tidak ada masalah,” kata Salmah.

“Ye lah! nak mati siapa tahu,” jawab Jusuh.

Salmah yang selama ini reda dengan sikap suaminya tetap memberi bimbingan dan rangsangan supaya beliau mengingati Kaabah daripada mengingati perkara lain.

Penentuan ke Tanah Suci sudah diperoleh. Penerbangan Jusuh di peringkat pertengahan. Ini menyenangkan Jusuh dan Salmah serta jemaah lain kerana dapat mengetahui keadaan di Tanah Suci melalui radio dan akhbar sekali gus dapat membuat persediaan menghadapi sebarang kemungkinan.

Hari berangkat sudah tiba. Empat kenderaan menghantar Salmah dan Jusuh ke Kelana Jaya yang jaraknya dari rumah mereka kira-kira 200 kilometer.

Hari itu hujan turun dengan lebat, jalan basah diikuti dengan banyak kenderaan. Ketika menuruni lebuh raya, kereta yang dinaiki Jusuh terbabas lalu dirempuh oleh sebuah trailer.

Jusuh yang duduk di belakang terperosok akibat rempuhan kuat dan meninggal di tempat kejadian tetapi Salmah terselamat. Beliau hanya mengalami luka-luka ringan akibat terkena serpihan cermin.

Jalan raya menjadi sesak akibat kemalangan itu. Tiga lagi kereta yang berada di hadapan tidak menyedari kemalangan yang menimpa Jusuh. Mereka hanya mengetahui selepas panggilan kemasukan jemaah untuk berangkat.

Berkali-kali nama Jusuh dan Salmah dipanggil namun tidak muncul. Akhirnya selepas tutup kaunter barulah pegawai mengetahui Jusuh dan Salmah terbabit dalam kemalangan.

Inilah yang menjadi persoalan kepada Salmah selepas diputuskan tidak mengerjakan haji tahun itu kerana dalam iddah kematian suami. Adakah Allah mengampunkan dosa suaminya yang kaki judi dan minum arak.

Guru agama sering mengajar bahawa Allah Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Sayangkah Allah kepada Jusuh yang mula merapatkan diri kepada-Nya tetapi tidak sempat mengunjungi rumah-Nya?

Kemurungan Salmah agak lama dan mengambil masa pula ditenteramkan oleh keluarganya. Persoalan yang tidak boleh dijawab ialah terampunkah dosa Jusuh, manusia yang baik dalam keluarga tetapi jauh dari Allah suatu ketika dulu.

Keputusannya ialah pasrah, berserah kepada Allah. Abu Talib bapa saudara Rasulullah pun meninggal tidak sempat Islam, sedangkan beliau membantu Nabi berdakwah. Bak kata pujangga, setahun ikan tenggiri berada dalam laut masin tetapi isinya tetap tawar, sehinggalah apabila dihiris dan dimasukkan garam barulah ia masin.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...