Me & My WiFe!!

Me & My WiFe!!

Thursday, April 28, 2011

ISTERI DERHAKA GHAIRAH DI PUSARA





Dosa paling besar seorang isteri adalah apabila derhaka pada suaminya. Besarnya dosa itu sama dengan dosa derhaka pada kedua ibubapa. Kisah kali ini adalah sebuah kisah iktibar seorang isteri derhaka. Ia telah diceritakan oleh En. Idris seorang pakar perubatan tradisional yang mana kisahnya telah disiarkan dalam Bicara keluaran Jun lalu. Disebabkan ianya amat menarik dan bagus dijadikan pedoman, penulis paparkan dalam ruangan utama ini.


“Terus-terang saya katakan, sebenarnya saya berdosa dengan sepasang suami isteri ini. Walaupun begitu saya kini telah insaf akan kesilapan itu dan bertekad tidak lagi akan mengulanginya pada pasangan lain.

Namun di sebalik kisah itu ada pengajaran yang boleh kita ambil. Mungkin juga sudah takdir Allah terhadap yang berdosa…” luah En.Idris setelah habis bercerita pada penulis tentang perkhidmatan rawatannya.

“Sebelum saya mengubati masalah pasangan arwah Manaf (bukan nama sebenar), kisah di sebaliknya amat menyentuh perasaan. Manaf seorang suami yang pelembut dan penyabar.

Memang bertuah siapa yang bersuamikan Manaf tapi Rosnah (bukan nama sebenar) isterinya, tidak pernah bersyukur. Mulanya, cerita kepincangan rumahtangga Manaf disampaiakan oleh sahabat saya yang tidak tahan melihat penderitaan Manaf yang didera secara mental oleh isterinya.

Pada mulanya saya tidak percaya kerana apa yang disampaikan, cara deraan Rosnah pada Manaf cukup teruk. Oleh yang demikian sahabat saya bertemu dengan Manaf sendiri bagi mendapat cerita sebenar sekaligus merawatnya,” jelas En.Idris…

“Takdir Allah ingin menunjukkan kebenaran pada saya, apabila ketika Manaf menghulurkan tangan untuk kami bersalaman, tiba-tiba terdengar suara sumbang Rosnah memekik memanggil suaminya dengan kasar.

“Hoi, bapak anjing! Dah pukul tiga ni!, tak reti nak balik rumah ke?” jeritnya dengan muka menyinga. Manaf yang ketika itu sedang mengerjakan kebunnya terus berubah muka dan tertunduk malu dengan sifat kasar isterinya di depan kami.”

Dari situ benarlah seperti yang diceritakan oleh sahabat saya itu. Ini membuktikan Manaf benar-benar bermasalah. Telah hilang perasaan cinta dalam hubungan mereka, telah musnah kasih sayang yang seharusnya disemai dalam sebuah hubungan suci.

Saya amat bersimpati dengan Manaf dan terpanggil untuk membantu Manaf secara ikhlas. Terus saya menjemput Manaf ke rumah untuk diberikan bantuan agar Manaf tidak lagi akan berterusan sebagai seorang suami yang malang.”

Dalam pertemuan kami, banyak perasaan tidak puas hati terhadap isterinya diluahkan pada saya. Amat menyedihkan sekali kisahnya, kadangkala terlintas di fikiran saya apakah Manaf ini dayus atau benar-benar bermasalah menjadi tanda Tanya.

Secara ringkasnya saya menganggap Manaf memang seorang lelaki berhati lembut dan penyayang. Beliau tidak reti marah dan lebih suka bertolak ansur dengan isterinya daripada bertegang urat.

Namun Rosnah bersifat sebaliknya. Sifatnya pemarah dan panas baran. Beliau tidak suka mengalah dan mengambil kesempatan dengan kelembutan si suami. Perkataan yang digunakan oleh Rosnah juga amat kasar dan keji.

Baginya Manaf harus diherdik dan dimaki baru hatinya puas. Disebabkan telah terlalu lama mengamalkan perkataan kasar begitu, lama-lama ia telah melekat di fikirannya dan sukar diubah.

Sejak dari awal perkahwinan lagi Manaf tidak mahu melawan isterinya kerana sayang dan malas nak bertengkar. Lagipun mereka berkahwin bukan atas paksaan siapa-siapa, mereka berkahwin atas dasar suka sama suka dan Rosnah tidaklah begitu kasar sebelum berkahwin.

Bermula dengan mengarah itu dan ini pada Manaf akhirnya beliau ‘naik lemak’ dan terus jadi queen control dalam rumahtangga. Umpama kata orang tua-tua “ beri betis nak paha” , lama-kelamaan Rosnah berani memaki hamun dan mengherdik Manaf tanpa rasa malu dan takut kerana beliau tahu Manaf tidak akan berani melawan.

Selain kasar tutur kata, Rosnah juga kasar di bilik tidur. Beliau menuntut nafkah batinnya secara tidak normal seperti pasangan suami isteri yang lain. Belaiu tidak romantis dan menganggap Manaf macam patung mainan.

Kalau nak ajak pun biarlah lembut-lembut tapi Rosnah selalu menjerkah Manaf dengan kata-kata yang tidak sedap di dengar. Tidak kira masa pulak tu, walau pun ketika itu Manaf sedang berborak dengan kawan-kawan.

Berdehem sahaja si isteri, cepat-cepat Manaf memberi alasan seperti ‘bini aku suruh aku paku dinding di rumah!’ padahal Rosnah mengajak ke bilik tidur. Jadi manaf tidak ikhlas memberi hanya membatukan diri sahaja sepanjang ‘adegan’.

Oleh itu sepanjang masa Manaf merasa tertekan dan hina bila isteri yang dikasihi buat dirinya seumpama hamba suruhan sebegitu.

Kerja rumah juga sering dibebankan pada Manaf. Walau pun ada juga satu dua kerja dilakukan oleh Rosnah tapi semuanya tidak ikhlas, sampai masa beliau akan mengungkit segala khidmatnya pada Manaf termasuk masak-memasak.

“Banyak lagi perkara-perkara tidak manis untuk saya ceritakan dan terlalu terperinci terutama di bilik tidur kerana Rosnah memang kasar dan pelik! Saya percaya umum sudah faham walau pun saya bercerita sedemikian,” jelas En. Idris memendekkan cerita.

“Jadi saya, yang Allah kurniakan kelebihan mengubati masalah kehilangan cinta, terus berusaha mengembalikan kebahagiaan rumah tangga Manaf.

Niat saya bukan mahu mereka jadi pelik dari biasa, tapi sekadar seperti pasangan suami isteri lain. Saya mahu mengembalikan perasaan cinta Rosnah pada Manaf sekaligus menyelamatkan rumah tangga mereka.

Terus saya merawat Manaf cara yang sedikit istimewa kerana masalah ini memang berat… bukan sebarangan ubat harus diberikan, Manaf perlukan ubat yang paling hebat! Niat saya ikhlas… dan ubatan saya jampi dengan ayat-ayat Al-Quran.

Ubat yang diberi adalah yang paling kuat dalam ilmu yang saya pelajari untuk masalah sebegini jadi saya pasti kesannya juga hebat jika diizinkan Allah..” jelas En Idris.

Setelah beberapa hari berlalu, Manaf datang bertemu dengan saya dan berterima kasih kerana ubatan yang diberikan memang mujarab dan berkesan! Rosnah telah berubah! Macam tak percaya apabila Rosnah tidak lagi menengking herdiknya jauh sekali memaki hamun.

Namun itulah yang terjadi. Air muka Rosnah yang bengis seolah-olah telah direntap hebat dan digantikan dengan air muka jernih seorang isteri solehah. Mendengarkan itu saya merasa amat gembira dan bersyukur pada Allah.

Semakin hari hubungan mereka semakin intim malah lebih baik dari pasangan suami isteri yang lain. Macam pasangan baru berkahwin. Rosnah tidak lagi mengarah Manaf berbuat itu dan ini malah beliau sendiri akan melakukan sendiri tugas-tugas wajib seorang isteri.

Hubungan kelamin mereka juga berubah. Rosnah begitu romantis dan lembut melayan Manaf macam Raja di tempat tidur. Masa itu Manaf berasa bahagia dan bersyukur di atas anugerah Tuhan yang tidak terhingga itu.

Selang empat atau lima bulan berikutnya Manaf ditakdirkan jatuh sakit. Penyakit Manaf melarat dan dua minggu selepas itu beliau meninggal dunia. Ketika itu Rosnahlah yang paling sedih. Bayangkan cintanya direntap hebat setelah dipupuk dan dibajai dengan kasih sayang dan cinta yang sejati.

Hilang sudah tempat bermanja dan sepi terasa dunianya tanpa Manaf. Baru disedari betapa perlunya Manaf dalam hidupnya. Tiada intan permata yang dapat menggantikan kegembiraannya dan kasih sayang yang telah Manaf berikan.

Ternyata Tuhan mahu menguji hati seorang isteri atau inilah balasan yang seharusnya ditanggung oleh Rosnah setelah apa yang dilakukan kepada Manaf dulu?

Nah! Raskanlah peritnya hidup tanpa kasih sayang dan belaian…!

Selang seminggu selepas kematian Manaf, rosnah kelihatan tidak tenteram. Jiwanya meronta-ronta mahu mengikut Manaf ke mana sahaja. Terasa kosong sekosongnya rumah itu dan sunyi sesunyinya hidup tanpa Manaf.

Kerana terlalu mengikut kata hati dan emosi, Rosnah jadi separuh gila. Sering beliau kelihatan membawa lampu picit dan payung ke kubur arwah Manaf dan duduk di situ semalaman.

Walau dipujuk dengan apa cara sekali pun dan walau ditakut takutkan dengan usikan hantu dan segalanya, Rosnah tetap tidak berganjak dari kubur arwah Manaf.

Batu nesan yang terpacak teguh di atas kubur arwah Manaf menajdi semakin senget dek sering dipeluk dan digoyang-goyangkan. Beliau tidak mahu pulang dan tetap mahu berada di samping Manaf sepanjang hidupnya walau di dalam liang lahad sekali pun. Bila dipujuk oleh ahli keluarga , Rosnah sering menagatakan; “Abang Manaf inilah syurga aku… Aku bahagia bila berada di sisi abang Manaf aku!”

Sehinggalah masa menjadikan Rosnah tidak waras sehingga ke hari ini.

“Saya sebenarnya yang bertanggung jawab mengubah nasib Manaf agar berubah menjadi lebih baik.

Tidak sangka rupa-rupanya lebih malang dan dahsyat mengundang pada diri Rosnah, itu yang saya katan saya telah berdosa…” jelas En. Idris sayu menekurkan mukanya ke lantai.

“Namun begitu saya sudah berikhtiar memulihkan Rosnah namun usaha itu tidak berjaya 100 peratus memandangkan Rosnah sudah terlalu kemaruk dengan cinta Manaf sebelum sempat berubat.

Dari satu sudut lain, saya nampak ianya sebahagian dari ketentuan Allah terhadap isteri yang derhaka. Wallahualam”, terang Idris penuh penyesalan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...