Me & My WiFe!!

Me & My WiFe!!

Thursday, April 28, 2011

AYAH KAKI JUDI

HARI Bapa yang diraikan tahun ini telah berlalu, banyak kenangan yang ditinggalkan bagi mereka yang menyambutnya.
Ada yang gembira ada yang berduka.

Semuanya itu menjadi lumrah dan akan kekal menjadi sebahagian daripada episod kehidupan kita sebagai manusia.

Namun perlu kita ingat, di sebalik keseronokan anak-anak menyambut hari bapa, ada insan yang bersedih kerana tidak dapat bersama bapa tersayang.

Mungkin mereka telah pergi menghadap Ilahi atau juga hilang tanpa dikesan akibat perpisahan dalam rumah tangga antara bapa dengan ibu.

Namun ada juga anak-anak yang menangis dalam menyambut hari bapa kerana bapa yang diharap menjadi pelindung tidak dapat memenuhi tanggungjawab seperti bapa orang lain.

Demikian kisah yang ingin saya kongsi bersama pembaca minggu ini. Kisah seorang bapa yang menjadikan judi sebahagian daripada hidupnya dan mengetepikan tanggungjawab terhadap isteri, anak-anak dan rumah tangga.

Kisah ini luahan hati seorang anak yang hanya mahu dikenali sebagai Zie untuk renungan bersama.

“Saya merupakan anak pertama dalam lima beradik dan dibesarkan di dalam serba sederhana.

“Apa yang ingin saya ceritakan adalah mengenai sikap abah saya yang suka berjudi sejak dari zaman muda hingga zaman emas hingga kini.

“Biarpun pelbagai teguran dibuat oleh mak dan kami anak-anak, abah tetap macam itu, langsung tidak mahu berubah.

“Abah saya merupakan bekas anggota badan beruniform dan ada pangkat.

Sikapnya yang suka berjudi menjadi-jadi selepas kami berpindah ke Selangor.

“Bermula dari tikam ekor untuk suka-suka akhirnya dia berjinak pula dengan judi mesin.

“Sebagai anak saya merasa amat malu dengan jiran-jiran yang selalu terserempak dengan abah di kedai ekor dan kedai permainan judi.

“Tambah malu kerana bapa bekas anggota pasukan keselamatan tetapi gila judi. Apa perasaan anda, kalau berada di tempat saya?

“Dulu semasa saya berada di bangku sekolah, kawan-kawan sekolah selalu beritahu mereka terserempak dengan abah di kedai judi tapi saya tidak percaya.

“Tuhan itu adil, mungkin Allah ingin menunjukkan kepada kami, satu hari saya dan adik sendiri terjumpa abah di tempat sama.

“Kami menangis sambil berpelukan. Saya merasa amat malu dan berfikir selama ini kami makan dan belanja duit yang abah dapat daripada hasil berjudi.

“Saya merasakan duit itu tidak halal dan tidak berkat digunakan untuk menampung kehidupan kami.

“Barulah saya sedar selama ini hidup kami tidak tenang dan tenteram kerana sikap abah yang buruk itu.

“Bukan itu sahaja setiap masa kami kesempitan wang sebab gaji abah dihabiskan untuk tujuan tersebut.

“Apabila habis duit abah minta pada mak dan kami anak-anaknya. Kalau tidak kerana mak dapat upah jaga anak orang, tentu kami semua tidak makan.

“Saya sedih melihat keadaan mak yang selalu menyimpan perasaan sedih dan kecewa terhadap kelakuan abah.

“Mak amat penyabar dan tidak pernah jemu menasihati abah supaya berubah.

“Malangnya setiap teguran dan nasihat mak dibalas dengan tengking dan jeritan.

“Sudah puas cakap elok-elok mak turut mendapatkan nasihat ustaz untuk mengembalikan abah ke pangkal jalan.

“Namun tidak ada perubahan berlaku, abah tetap macam itu juga. Sekarang abah telah pencen tetapi menghabiskan masa dan duit pencen di kedai judi.

“Kalau orang lain ada bapa yang menghabiskan hayatnya setelah berpencen dengan beribadah dan bertaubat di masjid, tapi abah saya mensia-siakan hidup nya dengan berjudi.

“Hidup kami bertambah malang apabila sering diganggu oleh orang bank yang menuntut hutang tertunggak yang dibuat oleh abah.

“Semua barang di dalam rumah hampir disita, mujurlah ada pakcik yang datang menolong kerana kasihankan kami. Itu pun abah tidak insaf dan sedarkan diri lagi.

“Sikap abah menyebabkan anak-anak menjauhkan diri daripadanya. Saya sudah jarang dan kalau boleh tidak mahu pulang ke kampung sebab abah akan minta duit tetapi kemudian hilang sehari suntuk untuk berjudi.

“Saya kini tinggal di bandar J kerana bekerja. Jika balik pun kerana rindukan mak dan adik-adik yang memerlukan perhatian saya.

“Saya amat kecewa dan sedih dengan sikap abah. Saya malu dengan kawan-kawan, jiran dan saudara mara.

“Saya teringin mempunyai seorang abah yang baik, beriman, penyayang dan bertanggungjawab.

“Sayangnya abah saya tidak macam abah orang lain. Sebagai anak saya tidak pernah putus asa untuk berdoa.

“Saya amat berharap satu hari nanti abah akan insaf dengan perbuatannya dan kembali ke pangkal jalan.

“Setiap kali solat saya tidak pernah lupa berdoa agar abah akan berubah.

“Saya teringin melihat abah sujud menyembah Allah, mengimamkan isteri dan anak-anaknya serta berdoa untuk kesejahteraan kami sekeluarga.

“Saya berdoa agar abah akan berubah sebelum Allah menjemputnya pulang.

“Pesanan saya kepada kaum lelaki yang bakal menjadi suami dan bapa jangan ikut perangai abah saya. Jadilah suami dan bapa yang bertanggungjawab dan sayangkan rumah tangga serta keluarga,” kata Azie menutup cerita.

Saya bersimpati membaca kisah Azie. Pengalaman Azie memang pahit bagi seorang anak berbanding orang lain.

Bagaimanapun saya kagum dengan ketabahan Azie dan ibunya menangani masalah ini.

Saya berharap Azie dapat mencari orang tengah untuk menyelesaikan kemelut bapanya ini seperti seperti bapa saudara atau orang tua yang disegani oleh bapanya.

Saya tahu ia sukar tetapi sekurang-kurangnya berusahalah. Pinta saya, sebagai anak, teruskan berdoa supaya bapa anda berubah.

Bapa juga manusia biasa tidak terlepas daripada kesilapan.

Saya juga berharap dan berdoa agar dalam masa terdekat abah Azie akan bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.

Mengundur diri, pesanan saya Sesungguhnya Allah jika mencintai dan menyayangi hamba Nya, maka Dia akan mengujinya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...