Me & My WiFe!!

Me & My WiFe!!

Sunday, May 1, 2011

TONG AIR BERSOLAT

4522473807_64c3b2d308_o.jpg
Diceritakan oleh Datuk Ustaz Haji Ismail Kamus.
Bahrulmazi Travel and Tours Sdn.Bhd.

Memang menjadi kebiasaan ramai jemaah haji dari Malaysia yang mengenali saya bertanyakan sesuatu perkara terutama hal agama semasa berada di tanah suci.Misalnya jika jemaah ada menghadapi masalah berkaitan soal-soal rukun haji atau fardu ain serta
kekeliruan dalam beribadat saya akan memberikan khidmat nasihat seperti diminta. Bagaimanapun ada juga jemaah yang bertanyakan tentang peristiwa pelik yang berlaku terhadap mereka. Demikianlah yang berlaku dengan seorang  jemaah wanita dari Malaysia semasa saya mengerjakan fardu haji pada tahun 1993.

Pada suatu hari seorang jemaah haji wanita, biar saya namakannya Fatimah, datang menemui saya untuk menceritakan peristiwa aneh yang dialaminya semasa berada diMakkah. "Pelik ustaz.Memang pelik.Tak pernah saya alami kejadian sepelik ini dalam hidup saya," cerita Fatimah dalam keadaan gugup dan terkejut.Wajahnya lembut dan bersih tanda banyak beribadat dan solat.

"Bertenang, beristighfar banyak-banyak," kata saya meminta Fatimah bersabar dalam menghadapi dugaan semasa berada di tanah suci.Selepas melihat dia mula bertenang saya memintanya menceritakan kejadian yang pelik menimpanya semasa berada di tanah suci.

"Sekarang cerita.Apa kejadian pelik yang awak tengok...?" tanya saya pula apabila melihat wajahnya berkerut memikirkan masalahnya. Fatimah menceritakan bahawa pada suatu hari, dia pergi bersama-sama rakan jemaah untuk bersembahyang di Masjidilharam. Mula-mula Fatimah mengambil air zamzam dari telaga di Masjidilharam bersama-sama jemaah lain sementara menanti waktu solat Zuhur yang hampir masuk.

Memang telah menjadi kelaziman Fatimah dan rakan-rakan mengambil air dari telaga zamzam untuk dibawa pulang ke tanah air kelak.Air zamzam yang diambil dari telaga di Masjidilharam itu kemudiannya akan dituang ke dalam tong besar di hotel penginapan. Selepas itu mereka isikan dalam bekas dan botol-botol yang lebih kecil supaya mudah dibawa pulang ke Malaysia. Ini kerana Fatimah menganggap air yang diambil sendiri di telaga zamzam berbanding air zamzam di paip di luar lingkungan Masjidilharam lebih suci dan asli.

Bagaimanapun pada hari itu selepas mengambil air zamzam, tiba-tiba Fatimah rasa berada dalam keadaan uzur kerana haid.Ini menyedihkannya kerana jangkaan haidnya masih lambat lagi. Justeru Fatimah cepat-cepat keluar dari kawasan Masjidilharam meninggalkan rakan-rakan kerana haram bagi wanita uzur memasuki masjid.Sambil melangkah keluar membawa air zamzam, dia rasa kecewa kerana  hasrat untuk bersembahyang di Masjidilharam tidak tercapai sedangkan itulah yang diidam-idamkan oleh para jemaah.Walaupun semangat Fatimah berkobar-kobar untuk beribadat tetapi dia terpaksa akur kerana masalah keuzuran.

"Mungkin lain kali boleh sembahyang lagi di Masjidilharam," katanya sambil memujuk hatinya yang kecewa. Sambil berjalan dia berdoa supaya haidnya habis sebelum kembali ke Malaysia supaya hasratnya untuk menunaikan solat di Masjidilharam tercapai.Fatimah menyambung, katanya apabila sampai di hotel penginapannya, dia meletakkan botol  air zamzamnya itu di hujung penjuru bilik  menghala ke arah Masjidilharam. Dia merehatkan badannya dan memujuk hati yang kecewa.  Insya-Allah  ada rezeki aku, katanya dalam hati. Seketika kemudian sayup-sayup azan fardu Zuhur berkumandang dilaungkan  muazin Masjidilharam.

Lembut dan menginsafkan.Apabila mendengar suara azan, Fatimah rasa semakin  sayu kerana hasrat  untuk beribadat tergendala kerana keuzurannya. Tidak lama selepas itu qamat  dilaungkan. Lalu dia  terbayang alangkah seronoknya kalau ketika itu dia juga sedang berada  bersama-sama kawan-kawan  dan para jemaah lain di dalam Masjidilharam. Tentu ketika itu mereka sedang  berdiri untuk  memulakan solat.Tapi apakan daya, sekarang dia berada di dalam bilik dan  tidak boleh pula  mengerjakan
solat....."Allahhuakbar." Imam memulakan solat. Makin sayu  Fatimah mendengarnya.

Sewaktu sedang mengelamun itu, tiba-tiba dia melihat tong air zamzam hampir  setinggi lutut dan sebesar badannya bergerak-gerak.Dan apabila imam rukuk, dengan perlahan-lahan tong tersebut  melentur sehingga menjadi bentuk seperti orang yang sedang
rukuk  juga. Apabila jemaah sujud, tong  itu juga turut sujud sehingga penutupnya mencecah simen.Kemudian ia duduk antara dua sujud dan  kembali berdiri apabila jemaah membaca fatihah.Begitulah perlakuan tong air  zamzam itu sehingga  selesai jemaah bersembahyang di Masjidilharam. Anehnya selepas jemaah habis  bersembahyang, tong  air zamzam itu berhenti serta-merta
bersolat.Bagaimanapun air di dalam tong  berkenaan tidak  tumpah atau meleleh sedikit pun. Badan tong yang sebentar tadi sujud dan rukuk tidak menunjukkan  apa-apa perubahan fizikal seperti kemik atau melentur.

"Betul ustaz! Saya tengok sendiri tong zamzam bersembahyang. Apabila orang  bersembahyang  di Masjidilharam tong itu pun bertakbir Allahhuakbar. Apabila orang rukuk,tong  air zamzam turut rukuk.Apabila orang sujud, tong air zamzam turut sujud seterusnya memberi  salam," katanya dengan bersungguh-sungguh.  Lalu Fatimah bertanya kepada saya: "Adakah tong zamzam itu bersembahyang  menggantikan tempat  saya yang tak boleh bersembahyang ustaz..?"

Saya hanya menjawab, "Wallahualambissawab. Ambillah ia sebagai iktibar. Itulah tanda kebesaran Allah dan besarnya pahala bersolat.Itulah Makkah, penuh dengan macam-macam  benda pelik. Ingatlah, Allah jadikan sesuatu itu supaya manusia berfikir."

Selepas mendengar penjelasan saya yang ringkas itu, Fatimah kembali ke biliknya. Walaupun saya tidak dapat memberikan jawapan sebenar bagi pertanyaan Fatimah yang dianggap  sungguh pelik yang terjadi terhadapnya semasa berada di tanah suci tetapi bagi saya, hasrat  murni Fatimah untuk beribadat sebenarnya dimakbulkan Allah. Keperibadian Fatimah yang sentiasa  mengutamakan solat menyebabkan Allah memberikan petunjuk kepadanya sehingga tong zamzam sanggup  bersolat menggantikan tempatnya walaupun dia berada dalam keuzuran.

Segala sesuatu pasti terjadi atas kehendak-Nya jika makhluk sentiasa taat  kepada perintah Allah. Jika Allah berfirman KUNFAYAKUN (Jadi,maka jadilah) maka segala sesuatu terjadi dengan sendirinya walaupun sesuatu perkara itu dianggap pelik dan aneh dari segi  pemikiran logik manusia biasa.

Daripada Aisyah r.a katanya Rasulullah s.a.w bersabda:

Adalah Rasulullah bercakap-cakap dengan kami dan kami pun bercakap-cakap dengan baginda. Apabila sampai waktu sembahyang seolah-olah baginda tidak mengenal kami dan  kami pun tidak mengenal baginda, kerana jiwa kami hanya tertumpu kepada keagungan
Allah.

Dan Allah berfirman:

"Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.

Sesungguhnya orang yang  sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku akan masuk neraka jahanam dalam keadaan  yang hina."......Surah al-Mu'min 40:60.
Sumber: unknown
10072008624.jpg

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...