Bersama Md Daud Che Ngah
Tindakan Normah enggan pulang mengikut jadual menyebabkan dia dikenakan denda dan terpaksa membeli tiket penerbangan balik yang baru
MAKKAH memang menjadi destinasi idaman setiap insan Muslim yang prihatin kepada agama apatah lagi jika rezeki mereka melimpah ruah. Jika mahu pergi setiap tahun pun tiada masalah daripada berbelanja keluar negeri dan kadangkala berparti yang mengundang maksiat.
Benarlah kalau orang yang bercita-cita hendak ke Makkah jarang menyangka yang di sebalik niat baik itu ada kalanya mengundang keburukan jika pergi ke Makkah tidak mengikut peraturan agama dan sistem sedia ada.
Normah ikut serta rombongan pakej 15 Syaaban dan akan tinggal selama sebulan di Makkah. Beliau menggunakan mahram sementara bagi membolehkan masuk ke Makkah kerana jika tidak ada mahram tercatat dalam visa akan dihantar balik.
Sepanjang berada di Madinah, beliau suka membeli-belah kerana banyak wang, tambahan pula tidak dikawal oleh suaminya. Beliaulah yang mengajak semua wanita yang ada dalam rombongan itu membeli-belah tanpa memikirkan kewangan yang agak terbatas.
Apabila berada di Makkah beberapa hari, ramai wanita mengambil kesempatan melakukan umrah berkali-kali. Normah apabila diajak melakukan umrah memberi alasan sudah banyak kali mengerjakannya pada tahun lalu dan paling utama baginya ialah beli-belah.
Apabila memasuki Ramadan, barulah Makkah sesak dan di hotel tempat Normah menginap mulai dipenuhi orang Malaysia yang mengenalinya. Beliaulah yang membawa mereka mengunjungi gedung beli-belah yang hebat dan tersohor di situ.
Pada 15 hari Ramadan, Normah memberitahu pegawai pakej yang beliau tidak mahu balik dengan rombongan yang sedang bersama-samanya dengan alasan belum puas tinggal di Makkah, sedangkan rombongannya sudah mahu berangkat ke Jeddah.
Normah berkeras tidak mahu balik. Pegawai pakej membawa rombongan ke Jeddah menggunakan pesawat. Itu bermakna ada satu kekosongan kerusi akibat penarikan diri Normah.
Apabila pegawai itu balik ke Makkah beliau menemui Normah dan memberitahu bahawa visa umrah Normah selama sebulan tamat tempoh. Beliau mesti meninggalkan Makkah dalam tempoh terdekat jika tidak akan ditahan di Lapangan Terbang Jeddah.
Normah tidak bimbang. Pegawai pakej tidak mahu menanggung risiko kerana muassasah sudah dapat mengesan Normah yang masih berada di Makkah. Pegawai pakej menghubungi muassasah menerangkan keengganan Normah untuk balik.
Muassasah mengarah pakej itu menyediakan tiket baru untuk menghantar wanita itu balik ke Malaysia. Kos tiket baru untuk penerbangan sehala RM2,400. Normah tidak mahu membayar kerana katanya pakejlah yang bertanggungjawab menjaga kebajikan jemaah.
Akhirnya satu surat dari muassasah dikeluarkan untuk menahan Normah jika tidak mahu pulang dalam tempoh tiga hari.
Barulah beliau membayar separuh harga tambang dengan muka masam dan menuduh pakej tidak berlaku adil kerana tidak menggunakan tiket lamanya untuk pulang. Pakej memberitahu bahawa kegagalan mematuhi jadual penerbangan akan menyebabkan tempat duduk tidak sah.
Mujur ada satu tempat kosong dalam penerbangan dua hari lagi. Muassasah meminta salinan visa umrah untuk mengesan mahram yang akan menemani Normah balik. Sehari suntuk pegawai pakej menguruskan kepulangan Normah.
Kos yang ditanggung oleh pakej ialah sebanyak 800 rial sebagai denda tinggal lewat melebihi visa dan tinggal tanpa mahram.
Apabila pegawai pakej mengemukakan tuntutan kepada Normah beliau menuduh pakej hendak menipu dari harga tiket hingga didenda oleh muassasah.
Lagipun Normah perlu membayar wang penginapan dan makan di hotel 600 rial kerana tinggal di bilik yang diperuntukkan oleh orang yang baru datang. Lagi sekali Normah enggan membayar tetapi masih makan dengan muka selamba.
Apabila tiba hari keberangkatan, barang-barang Normah terlalu banyak iaitu seberat 65 kilogram dan melebihi had yang dibenarkan. Pegawai pakej meminta ditinggalkan saja tetapi Normah naik berang.
Pegawai pakej enggan bertengkar lalu berunding dengan pegawai penerbangan supaya dapat bertolak ansur. Normah dikenakan bayaran tambahan sebanyak 230 rial iaitu harga paling murah berbanding perlu membayar 60 rial setiap kilogram yang lebih.
Normah enggan membayarnya. Sekali lagi suasana menjadi kecoh apabila Normah meminta dua tong zam zam 10 liter yang mana jemaah lain hanya diberikan satu tong saja.
Pegawai pakej menjadi marah dengan kerenah demi kerenah Normah.
“Mak Cik pergi timbang sendiri zam zam dua tong itu. Sebenarnya yang satu tong itu kepunyaan jemaah lain. Mak Cik buat sendiri. Saya tidak mahu campur,” kata pegawai pakej itu.
Akhirnya beliau menolak dua tong zam zam yang sudah dibungkus plastik tahan tumpah itu.
Pegawai pakej kemudian meminta wang tambahan kepada Normah dan jarinya menuding ke arah pegawai pakej tetapi pegawai itu sudah beredar dari situ. Entah berapa lama Normah diperiksa oleh pegawai Imigresen sebelum berlepas ke KLIA.
Sebenarnya tidak semua orang yang mengunjungi Baitullah sebagai kiblat umat Islam dengan tujuan beribadat. Contohnya, kebanyakan rakyat Bangladesh yang mencuri duit jemaah ketika mereka sedang khusyuk melakukan ibadat.
Apabila pegawai pakej balik, beliau menceritakan kerenah Normah kepada ketua pakejnya dan beliau terus berpesan: “Lain kali jangan menerima pendaftaran Normah kerana hatinya tidak suci”.
No comments:
Post a Comment