Me & My WiFe!!
Saturday, April 9, 2011
SIAPAKAH YG BERSALAH AKU@IBU?
bagaimana dengan gadis bernama Melissa. Perlukah dia menghargai ibunya. Bukan dia tidak menyayangi ibunya tetapi bagaimana untuk dia menghargai atau menghormati jika ibunya sanggup memejamkan mata biarpun dia tahu anaknya
menjual diri malah turut menumpang kesenangan anaknya. Bersalahkah Melissa? Atau ibunya yang salah?
Mata layu itu asyik memandang dinding putih yang berada di sekelilingnya. Sudah dua bulan Melissa terlantar di bilik berhawa dingin itu sejak disahkan tubuhnya mempunyai virus Human Immune Virus (HIV). Mata layu itu sering mengeluarkan cecair jernih apabila kenangan lama mengusik jiwanya. Terpancar kekecewaan dari sinar matanya. Dia cukup sedih kerana dilahirkan sebagai Melissa. Namun, dia pasrah kerana dirinya tahu Melissa tidak bersalah. Dia yang bersalah kerana menjadikan Melissa seperti itu. Atau semua ini disebabkan ibunya, dia tidak tahu siapa yang perlu disalahkan.
*****************
Terdengar suara tangisan seorang kanak-kanak di halaman sebuah rumah yang agak usang. Si kakak yang mendengar tangisan itu berlari dan memujuk adiknya. Itulah Melissa, gadis yang cukup manis, cerdik dan bertanggungjawab. Semenjak kecil dia sudah mula memegang tanggunjawab yang cukup berat. Melissa merupakan anak kedua daripada lima beradik. Ayahnya hanya seorang petani dan ibunya pula berniaga secara kecil-kecilan menjual nasi lemak di hujung kampung. Disebabkan abangnya menghidap Syndrom Down sejak kecil, terpaksalah Melissa memikul tugas sebagai anak sulung.
Walaupun kehidupan kekuarganya ibarat "kais pagi makan pagi, kais petang makan petang", ayahnya sentiasa memastikan Melissa dan adik-adiknya pergi ke sekolah. Ayahnya tidak ingin Melissa dan adik-beradiknya yang lain mewarisi kesusahan hidupnya. Ini berbeza dengan pendapat ibu Melissa yang mengatakan perempuan senang sahaja untuk mendapat kebahagiaan, iaitu mencari lelaki yang kaya dan berkahwin dengannya.
"Kenapa dengan adik kamu itu Lisa?", soal ibu mereka yang baru sahaja pulang dari berniaga. Kelihatan keringat mengalir laju di dahi ibunya setelah penat berjalan jauh.
"Tak ada apa-apa ibu. Nija ni terjatuh tadi tapi tak payahlah ibu risau kerana hanya luka kecil sahaja. Biasalah budak manja, luka sikit menangis", Melissa menjelaskan kepada ibunya.
"Ingatkan apalah yang di kecohkan. Nija, jangan nangis lagi..mari ikut ibu naik ke atas. Ayah kamu belum balik lagi Lisa?", soal ibunya sambil mendaki anak tangga untuk naik ke rumah.
"Belum ibu. Mungkin kejap lagi sampailah tu",jawab Melissa bersahaja.
Beberapa minit kemudian, muncul kelibat ayahnya yang keletihan dari kejauhan. Melissa memandang sayu ke arah ayahnya. Terdetik di hati kecilnya untuk berjanji akan membalas jasa ayahnya apabila dewasa kelak. Melissa tidak ingin melihat ayahnya berpenat lelah lagi mencari rezeki. Namun dia bersyukur kerana mempunyai ayah yang amat mementingkan pelajaran mereka walaupun tidak bagi ibunya. Melissa cukup bahagia dengan kehidupannya.
##############
Panas yang disangka sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Ketika Melissa berumur 15 tahun, ayahnya pergi menyahut seruan Ilahi akibat di patuk ular ketika berada di kebun. Hidup keluarga Melissa semakin parah kerana kehilangan sumber pendapatan utama. Apalah yang dapat diharapkan dengan gaji ibunya yang tidak seberapa.
Sejak kematian ayahnya, ibunya mula berubah. Ibunya seolah-olah menganggap Melissa dan adik-beradiknya yang lain sebagai beban. Saban hari mereka diherdik dan dipukul sewenangnya. Pun begitu Melissa tidak pernah merungut kerana dia cuba mamahami keperitan yang ditanggung oleh ibu. Pelbagai cara dilakukan Melissa bagi membantu ibunya. Ternyata ibunya tetap menganggap mereka semua bebanan bukan sebagai tanggungjawab atau amanah yang perlu dijaga.
Lantaran daripada itu, Melissa mulai tidak betah tinggal di rumah. Dia bosan mendengar leteran ibunya dan tidak tahan lagi dipukul sesuka hati. Pantang ada silap sikit mereka adik-beradik pasti menjadi mangsa, malah abangnya yang tidak normal itu turut terkena nasib yang sama.
Sejak itu juga Melissa mula merasakan dirinya hilang arah tujuan. Sikapnya mula berubah. Dia gemar membuat kerjanya sendiri dan mulai berkawan dengan budak-budak yang tidak tentu hala. Melissa juga mula mengabaikan pelajarannya. Dia seolah-olah sudah kecewa dengan hidupnya. Melissa juga sudah mula berjinak-jinak dengan rokok. Malah dia tanpa segan silu merokok di khalyak
ramai walaupun ada mulut-mulut yang mengata.
###########
Ketika menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR), Melissa menghadapinya tanpa sebarang persediaan. Ekoran daripada itu, dia telah gagal dalam peperiksaan itu. Namun, Melissa langsung tidak menyesal dengan pencapaiannya itu. Ibu Melissa juga tidak mengambil kisah perihal itu malah bersyukur kerana bebannya berkurangan.
Setelah gagal di dalam pelajarannya, Melissa mula membantu ibunya menjual nasi lemak di gerai. Ibunya cukup gembira apabila Melissa membantunya berniaga kerana pelanggannya mula bertambah dari sehari ke sehari. Ibunya juga menyuruh Melissa memakai pakaian yang cantik-cantik dan seksi agar pelanggan mereka sentiasa datang dan sekaligus melariskan jualan meraka. Betapa peliknya sikap ibu Melissa. Namun Melissa tidak kisah kerana dia memang gemar berpakaian seperti itu, remaja katakan.
Hingga akhirnya Melissa mula bosan untuk membantu ibunya berniaga. Melissa kemudiannya bekerja di kilang. Ibunya tidak membantah kerana Melissa telah berjanji akan menyerahkan separuh gajinya kepada ibunya pada setiap bulan. Sejak itu adiknya, Fiza pula yang membantu ibunya di gerai yang kebetulan turut gagal di dalam PMR.
Di kilang, Melissa telah berkenalan dengan seorang pemuda yang tua beberapa tahun darinya. Farish namanya. Orangnya kacak dan menjadi rebutan ramai gadis. Melissa juga apa kurangnya, bukan sahaja sedikit jantan yang ingin merebut cintanya tetapi semua ditolak. Namun tidak kepada Farish. Tanpa berfikir panjang, Melissa telah menerima cinta Farish.
Bersama Farish, Melissa berasa cukup bahagia. Setiap hari Melissa pasti akan dijemput dan dihantar oleh Farish ke kilang. Ibunya tidak pernah berleter walaupun orang kampung mulai memperkatakan Melissa seperti gadis bohsia. Mana tidaknya, Melissa asyik membonceng motor TZM milik Farish sahaja tanpa segan silu di hadapan orang kampung.
Farish juga sudah pandai bertandang ke rumah Melissa sama ada ibunya ada di rumah atau tidak. Ibunya juga tidak pernah menegur. Cuma ibu Melissa kurang bersetuju Melissa berkawan rapat dengan Farish kerana kata ibunya Melissa boleh memiliki lelaki yang lebih kaya.Namun, Melissa tidak mempedulikan kata ibunya kerana dia terlalu mencintai Farish.
##############
Malam itu, Melissa telah mengikut Farish menonton wayang. Ketika di dalam perjalanan pulang, Farish mengajak Melissa untuk singgah ke rumahnya seketika kerana ada sesuatu hendak diberi katanya. Melissa tanpa banyak soal pun mengikut Farish hingga ke dalam rumah.
Melissa duduk di atas kerusi di ruang tamu sambil membaca majalah sementara menunggu Farish mengambil barang yang dijanjikan. Setelah dipanggil oleh Farish, Melissa pun berpaling dan melihat Farish dalam keadaan tanpa seurat benang pun. Melissa terkejut dan bangun untuk keluar dari rumah Farish. Lantas Farish mencapai tangan Melissa dan mengajaknya melakukan hubungan seks. Pada awalnya Melissa enggan. Namun setelah dipujuk, akhirnya Melissa menyerahkan mahkotanya sebagai bukti cintanya kepada Farish.
Sejak kejadian itu, Melissa dan Farish sering melakukan perbuatan itu setiap kali ada kesempatan. Mereka bagaikan ketagihan. Sehinggalah pada suatu hari, Melissa merasakan ada sesuatu kelainan dalam dirinya. Setelah melakukan pemeriksaan, Melissa mendapati dirinya telah mengandung. Apabila mengetahui hal itu, Melissa lantas memberitahu Farish bahawa dia telah mengandung. Melissa bersyukur kerana Farish berjanji akan bertanggungjawab dan akan mengahwininya.
Tiga hari kemudiannya, Farish meminta kebenaran Melissa untuk kembali ke kampungnya di Perlis selama beberapa hari kerana keadaan ayahnya yang kurang sihat. Melissa tanpa berfikir panjang membenarkan pemergian Farish. Melissa percaya Farish bercakap benar kepadanya.
###########
Dua bulan sudah berlalu, kandungan Melissa kini telah berusia lima bulan. Benjolan perut Melissa sudah mulai kelihatan. Melissa mulai gelisah kerana Farish belum menunjukkan muka sejak pemergiannya. Dia mulai menyedari yang dirinya telah tertipu. Silap Melissa juga kerana terlalu mempercayai Farish sehingga alamat kediaman lelaki itu langsung tidak dimintanya.
Setelah seminggu berfikir, Melissa mengambil keputusan untuk berterus-terang dengan ibunya mengenai kandungannya. Ibu Melissa langsung tidak terkejut mendengar pengakuan Melissa itu malah ibunya tidak memarahinya. Melissa pelik dengan sikap ibunya kerana kalau dibandingkan dengan ibu orang lain, pasti teruk anak mereka dimarahi.
Dua hari selepas memberitahu ibunya, Melissa telah di bawa ke sebuah rumah bidan untuk menggugurkan kandungannya. Betapa peritnya Melissa menanggung kesakitan akibat proses pengguguran. Mujurlah tidak ada apa-apa kecelakaan berlaku ke atas dirinya.
###############
Selepas berehat selama seminggu, Melissa mulai bekerja semula tetapi bukannya di kilang tempat kerjanya dahulu kerana dia sudah lama dipecat oleh majikannya. Melissa kini menolong ibunya berniaga nasi lemak seperti dahulu. Ibunya gembira sejak kewujudan Melissa di gerainya kerana pelanggan mereka semakin bertambah.
Sejak peristiwa tertipu oleh lelaki bernama Farish itu, Melissa mula berubah. Dia kini tidak mempercayai lelaki. Dia kerap-kali mempermainkan setiap pelanggan lelaki yang menunujukkan minat terhadapnya.
Sehinggalah pada suatu malam, ibu Melissa telah mencadangkan satu perkara yang tidak pernah Melissa jangkakan seumur hidupnya.
"Lisa, duduk kat sini sekejap", arah ibu Melissa sambil menepuk-nepuk kusyen di sebelahnya.
"Kenapa ibu? Ada yang tak kena?", soal Melissa penuh tanda Tanya sambil duduk di samping ibunya.
"Ibu tengok kamu ni asyik mainkan pelanggan lelaki kita saja. Kenapalah tak saja kau guna kecantikkan kau tu untuk mendapat kemewahan. Takkan itu pun kau tak boleh fikirkan", kata ibu Melissa tanpa berselindung.
"Maksud ibu.Lisa tak faham", dengan nada terkejut Melissa menyoal ibunya. Bukannya dia tidak faham tetapi dia langsung tidak menyangka ibunya boleh berfikir seperti itu.
"Tak faham atau buat-buat tak faham", bisik ibunya selamba sambil berlalu ke bilik tidur.
###############
Sejak hari itu, Melissa sering memikirkan kata-kata ibunya. Sering terngiang-ngiang di cuping telinganya setiap bait ungkapan ibunya itu, "kenapalah tak saja kau guna kecantikkan kau tu untuk mendapat kemewahan. Takkan itu pun kau tak boleh fikirkan".
Setelah puas memikirkan kata-kata ibunya, Melissa telah mengambil keputusan nekad untuk melakukan pekerjaan yang dicadangkan ibunya itu. Lagipun dia tahu ramai lelaki yang mengidamkan tubuhnya yang sangat menawan itu.
Kini Melissa sudah pun memulakan kerjaya barunya iaitu sebagai pelacur. Dia mendapatkan pelanggannya melalui bantuan ibunya sendiri yang mana terdiri daripada pelanggan gerai nasi lemak mereka juga. Bukan Melissa sahaja yang menawarkan khidmat ini, adiknya Fiza juga turut mengikut jejak langkahnya. Mereka menerima pelbagai jenis pelanggan tanpa mengira agama dan bangsa asalkan mendapat upahnya.
Melalui pekerjaan Melissa dan adiknya itu, kehidupan keluarnya mula berubah. Bagi menutup kegiatan mereka itu, ibu Melissa telah membuka sebuah restoran. Apabila ditanya oleh orang kampung, ibunya akan mengatakan itulah rezeki mereka melalui hasil jualan nasi lemak. Begitu sekali penipuan ibunya.
Bukan Melissa tidak memikirkan perbuatannya itu, malah dia langsung tidak menyangka yang dia boleh pergi sejauh itu. Sanggup menjual diri dengan menjadi pelacur demi mendapatkan kehidupan yang mewah. Jiwanya tidak pernah tenteram lebih-lebih lagi ada yang mula nenghidu kegiatan mereka anak beranak. Mujurlah dua lagi adiknya duduk di asrama dan abangnya tidak mengerti apa-apa.
###############
Hari ini genap tiga bulan Melissa membawa diri setelah meninggalkan kampung halaman lantaran tidak tahan mendengar mulut-mulut orang kampung mengata setelah mula dapat menghidu perbuatannya dan adiknya. Dengan ini genaplah tiga bulan juga Melissa bekerja sebagai GRO di sebuah pusat hiburan terkemuka di tengah-tengah kesibukan Kuala Lumpur.
Di pusat hiburan itu, Melissa menjadi rebutan ramai pelanggan sehingga ramai yang iri hati kepadanya. Hidupnya juga kini dilimpahi kemewahan. Dalam satu malam sahaja, Melissa boleh memperolehi keuntungan tidak kurang dari seribu ringgit. Ibunya juga tidak pernah bertanya kegiatan Melissa asalkan dia mengirimkan wang belanja setiap bulan ke kampung.
Bekerja sebagai GRO, Melissa telah berjumpa pelbagai jenis pelanggan. Dia melayan semua kehendak pelanggannya tanpa mengira status mereka. Baginya yang penting dia mendapat hasil yang lumayan. Itulah jalan mencapai kemewahan untuknya.
Ada juga rakan-rakan yang mengajaknya berubah dan meninggalkan pekerjaan itu, namun Melissa langsung tidak terfikir untuk berpaling kerana baginya sudah terlambat. Sekali dia terjerumus ke dalam lembah ini, biarlah dia meneruskan perjalanan ini. Dia langsung tidak menghiraukan padah yang bakal diterimanya.
#############
Dua puluh tahun sudah berlalu, Melissa sudah beberapa kali bertukar pusat hiburan. Dari Kuala Lumpur ke Selangor, dari Selangor ke Negeri Sembilan. Lebih daripada sepuluh kali dia bertukar tempat kerja. Pelbagai jenis pelanggan yang
telah menerima khidmatnya. Tidak kira warganegara Malaysia atau tidak, agama apa, bangsa apa.
Dalam pada itu, Melissa langsung tidak menyedari ada sejenis virus berbahaya sedang bermaharajalela di dalam tubuh badannya. Mana tidaknya, Melissa langsung tidak pernah membuat pemeriksaan kesihatan. Jika sakit, dia hanya membeli ubat di farmasi. Malah dia terus menjalani kehidupannya seperti biasa tanpa sebarang masalah. Duit tetap di hantar ke kampung walaupun dia tidak pernah kembali ke kampung halamannya sejak berhijrah.
Sehinggalah pada suatu hari, dia menyedari kewujudan benjolan-benjolan di pangkal leher dan belakangnya. Baru dia teringat yang dia tidak pernah mengambil langkah berjaga-jaga selama ini. Kemudian Melissa pun membuat pemeriksaan doktor bagi mengenal pasti punca benjolan yang terdapat di badannya itu.
Seminggu kemudian Melissa memperolehi keputusan ujiannya. Alangkah terkejutnya Melissa apabila dia disahkan sebagai penghidap HIV positif. Melissa merasakan seperti langit jatuh menghempap kepalanya. Terbayang semua dosa-dosa lampaunya. Terdetiknya di hatinya, kalaulah dia tidak mengikut idea gila ibunya suatu ketika dahulu.
Pening kepala Melissa memikirkan nasib malangnya ini. Kini dia berada dalam keretanya menuju ke kampung halamannya. Hatinya berharap keluarganya dapat memberi sokongan kepadanya kelak.
Tiba di halaman rumah, Melissa di sambut girang oleh keluarganya. Semangat Melissa yang hilang kembali sedikit demi sedikit. Dia berharap keluarganya juga akan menerima dirinya apabila mengetahui nasib dirinya.
"Ibu, Lisa ada hal penting nak beritahu", suara Melissa agak takut-takut untuk berbicara pada malam itu. Melissa risau andai kata ibunya tidak boleh menerima apa yang bakal dikatakannya.
"Ada apa yang penting ni, Lisa nak kahwinkah..", jawab ibunya dengan nada bergurau. Dia pelik kenapa anaknya seperti takut-takut untuk bersuara.
"Tak adalah, Lisa.", naïf Melissa sambil memikirkan bagaimana untuk memberitahu ibunya.
"Lisa apa? Cakap sajalah, ibu dengar ni",kata ibu Melissa sambil sesekali matanya melirik ke kaca televisyen.
"Sebenarnya Lisa.Lisa.Lisa ada HIV", akhirnya terluah juga apa yang ingin Melissa beritahu kepada ibunya.
"Apa?? Kau jangan nak bergurau dengan ibu Lisa", nada ibu Melissa agak kedengaran tinggi. Dia sukar mempercayai kata-kata anaknya.
"Lisa cakap benar ibu, Lisa tak bergurau", balas Melissa kepada ibunya.
"Jadi kau balik ni buat apa, nak malukan aku atau nak jangkitkan kami sekali.sudah, baik kau pergi dari sini sebelum orang kampung tahu.pergi.pergi", tinggi sekali nada ibu Melissa sambil tangannya membuka pintu utama rumahnya. Tanpa belas kasihan Melissa di halau walaupun ketika itu jam sudah menunjukkan pukul 12.12 malam.
Dengan hati yang pilu, Melissa menghidupkan enjin keretanya lalu membelah keheningan malam. Dia sangat sedih kerana ibunya langsung tidak memberi belas kasihan kepadanya padahal semua ini dimulakan ibunya sendiri. Ibunya yang menunjukkannya jalan menuju kepada kehancuran ini.
Melissa mengesat air jernih yang mengalir di pipinya buat sekian kalinya. Kini dia hanya menunggu saat kematiannya setelah hampir dua bulan terlantar di atas katil hospital. Dia sering berdoa agar Tuhan mengampunkan dosanya dan agar ibunya ditunjukkan jalan yang benar.
Siapalah yang harus disalahkan ke atas nasib yang menimpa diri Melissa. Melissa tidak tahu kerana dirinya pun terlibat dalam membentuk diri Melissa, begitu juga ibunya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment