Me & My WiFe!!

Me & My WiFe!!

Friday, April 29, 2011

ROSLI TAK PERNAH INSAF

keinsafan.jpg
HIV/AIDS adalah penyakit moden yang paling menggerunkan pada abad ini. Ia bagaikan misteri yang sehingga kini tidak dapat dihuraikan hujung dan pangkalnya. Sekali dihinggapi, tiada penawar lagi untuk menyembuhkan penyakit ini. Teknologi perubatan moden pun menemui jalan buntu untuk menghapuskan virus ini.

Ironi sekali apabila manusia tidak pernah takut dengannya apabila masih ada yang tanpa ragu-ragu meneruskan gaya hidup yang boleh menjerumuskan mereka ke dalam bahana Hiv/Aids. Lantas, tanpa segan silu menyebarkan virus berkenaan kepada insan lain yang tidak berdosa.

Malang sekali, sukar untuk mengecam mereka yang dijangkiti virus ini. Sepuluh kali ditenung atau di telek pun mereka ini kelihatan sihat walafiat secara luaran atau fizikal. Kecualilah penagih dadah yang berkongsi jarum suntikan tetapi itupun sukar untuk dikenal pasti kecuali jika diperiksa secara teliti. Inilah yang paling menakutkan apabila tiada tanda-tanda seseorang itu telah dijangkiti. Bagi yang tidak bertanggung jawab, selepas dijangkiti masih sanggup merahsiakan penyakit yang bersarang dalam tubuh dan sanggup pula menyebarkannya pada orang lain.

Apa yang ditakuti ini bukan perkara mustahil untuk terjadi malah sedang berlaku tanpa dalam diam menjadi wabak yang membunuh secara senyap. Pengakuan seorang pemuda yang hanya mahu dikenali sebagai Rosli (bukan nama sebenar) membuktikan senario ini.

“Saya tidak pasti sama ada saya sudah dihinggapi Hiv atau tidak kerana saya sendiri tidak pernah menjalani sebarang pemeriksaan darah,” ujar Rosli, pemandu teksi yang ditemui baru-baru ini.

Pemuda yang berusia sekitar awal 30 an ini mengakui mengamalkan seks bebas tanpa mengira batas usia dan kaum. Tugas Rosli sebagai pemandu teksi memberi peluang untuknya bertemu dengan pelbagai jenis manusia menyebabkan Rosli bertambah bebas dengan aktiviti tidak sihatnya itu. Pendek kata, Rosli boleh ‘mencium’ mereka yang boleh dijadikan mangsanya.

“Setiap hari saya bertemu dengan pelbagai jenis wanita. Dari gerak geri mereka saya tahu sama ada mereka ini jenis macam mana. Sekilas ikan di air, saya tahulah apa yang mereka mahukan. Jika mereka setuju, saya bawa mereka ke hotel murah untuk melepaskan niat. Kadang-kadang mereka bawa saya ke rumah ketika ibu bapa atau suami masing-masing tiada di rumah. Kalau pelancong asing, lagi mudah.

Mereka sudah menempah hotel awal-awal. Saya tidak kenakan sebarang bayaran kerana yang penting kami sama-sama puas. Saya bukan pelacur jantan...,” katanya.

Wajah selamba Rosli yang seakan berbangga ketika menceritakan perangai buruknya itu seakan direka-reka. Bagaimanapun, dalam dunia serba kalut ini, kemungkinan kebenaran kata-katanya tidak dapat ditolak ditambah dengan rupa parasnya yang boleh dikategorikan sebagai lelaki ‘macho’. Biarpun terasa cuak, tiada pilihan lain selain terus mendengar celotehnya.

“Selama ini saya tidak pernah terlintas di fikiran saya, kemungkinan akan dijangkiti Hiv/Aids sebab saya fikir wanita yang saya tiduri itu sihat dan segar belaka. Jika dia ada Hiv/Aids pastinya mereka akan memberitahu saya atau saya boleh lihat tanda-tandanya. Saya tidak pernah bimbang tambahan pula kebanyakan mereka tidak pernah berbincang mengenai perkara itu,” katanya.

Ternyata Rosli sudah ditakluki oleh kebuasan nafsunya sehingga pada suatu malam beliau ditemukan dengan seorang pelancong asing yang menumpang teksinya. Seperti biasa, Rosli menjalankan operasinya ‘memikat’ dan menawarkan khidmatnya.

“Umpan sudah mengena, kebetulan ‘Minah Salleh’ itu mahu belanja saya kerana membawanya bersiar-siar. Kami ke hotel murah tempat dia menginap di sekitar Jalan Pudu. Di situ, kami memuaskan kehendak masing-masing sehingga saya terlena kepenatan. Keesokan paginya, tersedar dari tidur, saya lihat dia sudah tiada lagi di sebelah. Beg bajunya pun sudah tiada. Saya tidak kisah kerana saya pun tidak mahu lihat mukanya lagi. Saya ambil keputusan untuk mandi dan keluar mencari penumpang. Alangkah terperanjatnya saya, sebaik saja melangkah ke dalam bilik mandi, terpampang di cermin kaca dengan tulisan, “Welcome to Aids Club!”. Ketika itu, seluruh tubuh menjadi seram sejuk. Lutut saya menggigil ketakutan. Sejak detik itu, saya terpinga-pinga dan hilang arah,” katanya.

Begitupun, perasaan takut dan bimbang itu hanya seketika menghantui Rosli. Dari sehari-ke sehari, Rosli menangguhkan untuk berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan kepastian sama ada dia dijangkiti Hiv atau sebaliknya. Hakikatnya, Rosli takut menerima kenyataan.

Paling mengerikan, Rosli mengakui masih lagi aktif melakukan hubungan seks dengan sesiapa saja yang ditemuinya termasuk isterinya tanpa sekelumit rasa bersalah! Bagaimana sekiranya Rosli didapati positif Hiv? Tidakkah ia akan menyebarkan kepada orang lain yang tidak bersalah terutama isterinya. Rosli hanyalah segelintir kisah masyarakat yang berkemungkinan menyebarkan Hiv/Aids dari seorang kepada seorang. Bayangkan apabila mangsanya itu menyebarkan pula virus itu kepada orang lain, pastinya ia menjadikan jumlah itu semakin berganda dari sehari ke sehari.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...