Me & My WiFe!!

Me & My WiFe!!

Friday, April 1, 2011

PADAH MENYIKSA BINATANG






SIFAT nakal dan degil Zaki, anak lelaki Wak Jamat dan hajah Fatimah yang berusia 15 tahun itu telah lama menjadi duri dalam daging. Bukan sahaja kepada kedua-dua ibu bapanya, tetapi juga di kalangan penduduk kampung.

Tidak pernah dalam sejarah penduduk kampung itu, melihat seorang remaja sebegitu nakal seperti Zaki.

Telah banyak kaedah dilakukan untuk ‘merawat’ dan mengubah perangai Zaki. Namun semuanya tidak berkesan. Malah kadang-kala kedegilannya seperti sengaja ditunjuk-tunjukkan.
Ada-ada sahaja yang dilakukannya sehingga sering pula mencetuskan masalah kepada kedua-dua ibu bapanya. Entah berapa kali wak Jamat ditegur oleh jiran-jiran, gara-gara perangai pelik anak lelakinya yang sudah berhenti sekolah itu.

“Habis anak ayam aku dibalingnya dalam parit!” pernah sekali dulu jirannya, Setapa meluahkan rasa geram.

Apalah yang mampu dilakukan oleh Wak Jamat selain meminta maaf.

“Kalau bukan anak engkau yang takik kaki anak lembu aku, siapa lagi?” waktu yang lain jiran yang lain pula mengadu. Sambil menunjukkan kaki anak lembu yang hampir putus itu, jirannya meludah ke tanah, tanda geram tidak terbendung.

Minta maaf

Seperti biasa Wak Jamat bersungguh-sungguh meminta maaf. Apabila jirannya pulang, entah berapa kali pula tangannya naik ke tubuh Zaki. Entah berapa batang rotan pula singgah ke belakang badan anak lelakinya itu tapi dari sehari ke sehari, ada sahaja jiran mengadu yang bukan-bukan, gara-gara kenakalan Zaki.

“Aku bukannya apa, tapi dah banyak sangat cermin tingkap dapur aku pecah. Adakah patut cermin tu dilastiknya!” aduan yang lain dibangkitkan jiran yang lain pula. Akhirnya wak Jamat dan hajah Fatimah tak mampu menahan air matanya mengalir. Sedih hiba dibuatnya, mengenang perangai Zaki.

Mungkin kerana sudah terlalu sangat berdepan kerenah dan perangai buruk Zaki, jiran-jiran mengambil sikap tidak peduli. Kalau yang sudah sampai tahap terlalu marah, mereka sendiri bertindak ke atas Zaki.

Ada yang menghadiahkan penampar, ada yang memberi penangan. Belum dicampur dengan kata bentak dan caci cerca, jiran yang lain bertindak ikut suka untuk melepaskan geram setiap kali Zaki mengulangi perangai nakalnya.

Bagaimanapun, satu kejadian yang dilakukan Zaki pada satu ketika tidak lama dulu, membuatkan segala-galanya berubah.

Ketika itu Zaki bersendirian berjalan kaki untuk ke kedai kopi Mak Jarah tidak jauh dari rumahnya.

Mahu dijadikan cerita, seekor kucing melintas di depannya sambil mengiau, bagaikan mahu bermanja. Tapi kucing itu tersilap orang.

Demi sampai sahaja tangannya memegang kucing berwarna kelabu itu, Zaki pun tidak membuang masa. Dilepaskannya semula kucing itu ke tanah.

Tanpa belas kasihan, tiba-tiba sahaja sebatang rotan yang sering dibawanya berjalan terus dihayun sekuat hati.

Sraaaap! Dan saat rotan itu singgah ke tubuh kucing yang malang itu satu jeritan kucing yang kesakitan pun kedengaran.

Ngiauuuuuu! dan kucing malang itu terus sahaja berlari laju bagai kehilangan tuju.

Namun saat yang sama, Zaki terkekeh-kekeh terutama bila terpandang kucing itu berlari dengan susah payah kerana mengheret tubuhnya yang separas tanah.

Zaki terus ketawa. Sambil menekan perut, dia terkekeh-kekeh kerana tahu pukulannya ke badan kucing itu telah menyebabkan tulang belakang kucing yang malang itu patah.

Dalam tempoh tidak lama, kucing itu hilang dari pandangan Zaki dan dia pula terus berjalan ke kedai kopi menjalani rutin sehariannya, merayap ke segenap isi kampung.

Namun lewat petang menjelang senja, saat Zaki mahu melangkah masuk ke pintu rumah keluarganya, wak Jamat terdengar sesuatu yang pelik.

Suara kucing mengiau kedengaran amat jelas. Terkejut dengan bunyi yang kedengaran tiba-tiba, Wak Jamat meninjau ke muka pintu.

Alangkah terkejutnya orang tua itu apabila terpandang, Zaki dalam keadaan menakutkan. Dia dilihat merangkak sambil mulutnya tidak henti-henti mengerang mengeluarkan bunyi pelik bagaikan bunyi seekor kucing.

“Apa hal lagi engkau ni?” marah wak Jamat memang tak pernah surut. Disangkanya Zaki mengulangi perangai buruk. Tapi selepas beberapa lama, wak Jamat mengesan ada sesuatu yang tidak kena.

“Apa dah jadi engkau ni?” namun kali itu suara wak Jamat tidak meninggi. Ada bimbang dan risau dalam hatinya.

Hajah Fatimah berdepan perasaan serupa. Kehairanannya amat tinggi melihat tingkah laku Zaki yang begitu pelik.

Sebaik azan Magrib berkumandang, perangai dan aksi pelik Zaki semakin bertambah. Habis dilanggarnya dinding rumah dan mulutnya tak henti-henti berbunyi mengerang seperti orang dalam kesakitan amat sangat.

Ngiauuuuuuuu! Dan sebaik satu bunyi amat kuat kedengaran dari mulut Zaki, wak Jamat hampir terduduk kerana secara tiba-tiba Zaki menyondolkan kepalanya ke dinding ruang tamu di rumah itu. Hentakannya begitu kuat seolah-olah dilanda jentolak.

Bedebammmmmmm! Begitu kuat bunyinya. Hampir bergegar rumah separuh kayu itu dibuatnya. Dan sekelip itu juga tubuh Zaki terus diam. Tubuhnya kaku tidak bergerak.

Diburu kebimbangan dan kehairanan, wak Jamat meluru keluar dalam gelap senja itu untuk memberitahu jirannya tentang kejadian aneh yang menimpa Zaki.

Mulutnya terketar-ketar memaklumkan jiran-jiran sambil meminta pertolongan untuk membawa Zaki ke klinik.

Namun beberapa jiran yang memegang tubuh Zaki akhirnya memberitahu, tubuh anak wak Jamat yang selama ini terkenal dengan sifat nakal dan degilnya telah menjadi sejuk.

Seketika kemudian, terkeluar suara lemah dari mulut seorang jirannya: “Dia dah pergi wak!”

Saat itu juga suasana menjadi suram. Beberapa jiran yang pernah menghadiahkan tangan mereka ke tubuh Zaki selama ini kerana mahu melepaskan geram di atas kenakalannya turut terkedu sedih.

Keesokkannnya, ada penduduk kampung memberitahu kejadian ganjil yang menimpa Zaki mungkin ada kaitan dengan satu perbuatan tidak elok yang telah dilakukannya kepada seekor kucing.

Dan memang benar, bangkai kucing yang patah tulang belakangnya akibat dibelasah Zaki sebelum itu ditemui orang betul-betul di belakang kedai kopi mak Jarah.

“Dalam kampung kita tak ada orang lain yang suka aniaya binatang. Mungkin si Zaki tu dah terkena badi kucing agaknya!” cerita mengenai kematian Zaki selepas berkelakuan pelik sering sahaja menjadi cerita di kedai kopi.

Namun apalah daya wak Jamat dan hajah Fatimah. Segalanya telah berlaku dan Zaki juga telah pergi. Memang ada kesedihan tak terungkap dalam hati kedua-dua orang tua itu, tetapi pada masa yang sama mereka bagai terasa masih banyak kesalahan yang dilakukan Zaki pada orang kampung yang belum dimaafkan!

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...