Saya bertemu dengan orang Islam buat pertama kalinya semasa sedang menghabiskan ijazah di dalam bidang Rekreasi. Saya membuat pra-pendaftaran subjek untuk semester tersebut dan pergi ke Oklahoma untuk mengendalikan urusan keluarga. Urusan tersebut menyebabkan saya lewat hampir dua minggu dan oleh yang demikian, tidak dapat lagi membuang mana-mana subjek. Walaupun lewat, saya tidaklah risaukan pelajaran yang terlepas kerana saya adalah pelajar terbaik di dalam bidang berkenaan. Saya telah memenangi berbagai 'award' walaupun hanya seorang pelajar dan mampu bersaing dengan para professional. Seperkara yang anda harus faham, walaupun saya belajar dan cemerlang di kolej, menjalankan perniagaan sendiri dan mempunyai ramai teman rapat, saya adalah seorang yang amat pemalu. Saya lambat untuk mengenali seseorang dan jarang bercakap kecuali jika terpaksa, atau kerana sudah mengenali orang tersebut. Saya hanya merasa selesa di kalangan kanak-kanak. Kembali kepada cerita saya. Cetakan komputer pendaftaran semester tersebut menyebabkan saya amat terperanjat. Saya telah didaftarkan untuk kelas Teater.. sebuah kelas di mana saya dikehendaki membuat persembahan di hadapan orang ramai!.
Saya tidak mampuwalau untuk bertanyakan soalan di dalam kelas, apatah lagi untuk naik ke atas pentas di hadapan orang ramai? Suami saya, seperti biasa dengan sikap tenangnya menyarankan supaya saya menerangkan masalah kepada guru berkenaan dan akhirnya beliau bersetuju mencari jalan untuk membantu. Maka saya pun pergi ke kelas pada Selasa berikutnya.. Apabila hendak memasuki kelas, saya mendapat 'kejutan' yang kedua. Kelas tersebut penuh dengan orang-orang Arab dan "penunggang unta". Saya tidak pernah berjumpa mereka tapi pernah mendengar tentangnya. Tidak mungkin saya akan duduk sekelas dengan 'kafir-kafir kotor' ini! Manalah tahu, mungkin saya akan dijangkiti penyakit daripada mereka. Semua orang tahu mereka itu kotor dan tidak boleh dipercayai. Saya lantas menutup pintu dan pulang ke rumah. (Ada satu perkara yang perlu anda tahu. Pada masa itu saya memakai skirt pendek kulit, baju singkat dan terdapat segelas wain di tangan saya... tapi merekalah yang dianggap jahat dalam fikiran saya).
Apabila saya memberitahu suami saya tentang orang-orang Arab di dalam kelas dan tidak mungkin saya kembali ke kelas, suami saya dengan tenangnya mengingatkan bahawa Tuhan mempunyai sebab untuk segalanya dan mungkin saya patut mengambil masa berfikir sebelum membuat keputusan. Dia juga mengingatkan yang saya tentang tajaan biasiswa yang membayar tuisyen saya dan saya perlu mengekalkan G. P. A saya atau memusnahkan segala peluang saya. Saya berdoa untuk petunjuk selama dua hari. Saya kembali ke kelas pada hari Khamis dengan keyakinan bahawa Tuhan meletakkan saya di situ untuk menyelamatkan orang-orang Kafir bodoh itu daripada api neraka. Saya terus menerangkan kepada mereka bahawa mereka akan dibakar api neraka buat selama-selamanya sekiranya tidak menerima Jesus sebagai penyelamat. Mereka mendengar dengan sopan, tetapi tidak menukar pegangan. Saya terus mencuba untuk mengubah pegangan mereka tetapi tidak berjaya. Jadi saya mengambil keputusan membaca sendiri buku mereka untuk membuktikan bahawa Islam adalah agama palsu dan Mohammed adalah tuhan palsu.
Salah seorang pelajar di situ memberikan saya sesalinan Quran dan buku mengenai Islam, dan saya pun memulakan kajian. Saya pasti bahawa saya akan menemui bukti hujah saya dengan cepat. Saya membaca Quran dan buku tersebut dan 15 lagi buah buku, Sahih Muslim, dan kembali kepada Quran. Saya begitu bersungguh-sungguh untuk menukar agama mereka. Kajian tersebut berlanjutan sehingga satu setengah tahun. Dalam masa tersebut, saya mula menghadapi masalah dengan suami saya. Saya makin berubah, walaupun sedikit tetapi cukup untuk mengganggunya. Kami selalu pergi ke bar setiap Jumaat dan Sabut, atau ke parti, tetapi saya tidak lagi ingin ke sana. Saya menjadi semakin pendiam dan dingin. Dia yakin saya ada hubungan dengan orang lain dan menghalau saya keluar. Saya berpindah ke sebuah apartmen dengan anak-anak dan meneruskan usaha dengan bersungguh-sungguh untuk menukar agama para Muslim tersebut ke Kristian.
Pada suatu hari, seseorang mengetuk pintu rumah saya. Apabila dibuka saya mendapati terdapat seorang lelaki yang memakai baju tidur panjang berwarna putih dengan alas meja berkotak warna merah putih di atas kepalanya. Dia ditemani tiga lagi lelaki yang juga memakai pajama. (Itulah kali pertama saya melihat mereka memakai baju Kebangsaan mereka). Saya mulanya merasa agak marah kerana mereka hanya datang dengan pakaian tidur. Mereka fikirkan saya ini wanita jenis apa? Tidakkah mereka ada rasa malu dan harga diri? Bayangkan betapa terperanjatnya saya apabila si lelaki yang memakai alas meja di kepala itu mengatakan bahawa mereka difahamkan yang saya ingin menjadi seorang Muslim.
Saya dengan pantas menjawab yang saya tidak mahu menjadi Muslim. Saya adalah seorang Kristian. Walaubagaimanapun, saya ada beberapa kemusykilan. Itupun kalau mereka ada masa.... Namanya ialah Abdul Aziz Al-Shiek dan dia sudi meluangkan masanya. Dia sangat sabar dan membincangkan setiap soalan bersama saya. Dia tidak pernah membuat saya rasa bodoh atau mengatakan soalan saya itu remeh. Dia bertanya adakah saya percaya bahawa Tuhan hanya satu dan saya berkata ya. Kemudian adakah saya percaya bahawa Mohammad itu PesuruhNya?. Lagi sekali saya mengatakan ya. Dia memberitahu saya bahawa saya sudahpun menjadi Muslim! Saya tetap bertegas bahawa saya adalah Kristian. Saya hanya mencuba memahami Islam. (Dalam hati saya berfikir : Tidak mungkin saya seorang Muslim! Saya adalah orang Amerika dan berbangsa kulit putih! Apa suami saya akan kata? Jika saya Muslim, saya harus menceraikan suami saya. Matilah keluarga saya!).
Kami meneruskan perbualan. Dia kemudiannya menerangkan yang untuk mencapai pengetahuan dan pemahaman rohani adalah seperti mendaki tangga. Jika kita mendaki dan cuba "skip" beberapa anak tangga, maka kita dalam keadaan bahaya dan berkemungkinan jatuh. Mengucap Shahadah adalah hanya langkah pertama pada tangga tersebut. Kami ada banyak lagi yang perlu dibualkan. Pada petang tersebut, saya mengucap Shahadah. Walaubagaimanapun ada beberapa perkara yang masih belum dapat saya terima dan memang sifat semulajadi saya untuk berterus-terang lalu saya meletakkan "disclaimer" pada Shahadah saya. Saya berkata " Saya naik saksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Mohammad adalah PesuruhNya tetapi, saya tidak sesekali akan menutup rambut saya dan jika suami saya kahwin lain, saya akan "castrate" (mengkasi telur) dia". Saya mendengar lain-lain lelaki di situ menarik nafas terkejut, tetapi Abdul Aziz menyuruh mereka diam. Kemudiannya saya dapat tahu dia memberitahu rakan-rakanya jangan sesekali membincangkan dua perkara itu dengan saya. Dia yakin saya sendiri akan faham tentang perkara tersebut.
Shahadah sememangnya langkah paling mantap dalam tangga mencapai pengetahuan rohani dan mendekatkan diri kepada Allah tetapi pendakian saya agak perlahan. Abdul Aziz berterusan datang menziarahi saya dan menjawab soalan-soalan saya. Dia tidak pernah mencela saya atas soalan-soalan yang mungkin dianggap bodoh atau remeh. Dia memberitahu saya soalan yang bodoh ialah soalan yang tidak pernah ditanya. Hmm... nenek saya juga selalu berkata begitu. Dia menerangkan bahawa Allah menyuruh kita mencari ilmu dan bertanya adalah salah satu cara untuk mendapatkannya. Pada tahun-tahun seterusnya, saya telah mendapat ramai guru. Setiap satunya adalah istimewa dan berlainan antara satu sama lain. Setiap guru telah membantu saya mencintai Islam. Apabila pengetahuan saya bertambah, perubahan pada diri saya makin bertambah. Pada tahun pertama saya memeluk Islam, saya telahpun memakai hijab. Saya tidak tahu bagaimana ianya bermula. Segalanya datang dengan semulajadi, dengan pemahaman dan pengetahuan yang kian bertambah.
Saya juga menjadi penyokong kepada poligami. Saya tahu yang sekiranya Allah membenarkannya, maka tentu ada sesuatu yang baik di sebaliknya. Semasa saya mula mempelajari Islam, saya tidak menyangka saya akan berjumpa sesuatu yang saya perlu atau mahu dalam kehidupan peribadi saya. Saya sama sekali tidak menyangka Islam akan merubah hidup saya. Tiada manusia yang boleh menyakinkan saya bahawa pada satu hari saya akhirnya akan berasa tenang dan hidup penuh cinta dan keriangan semata-mata kerana Islam. Bagaimana Islam mengubah cara hidup saya "Kita akan lebih menghargai cahaya.. sekiranya kita pernah hidup dalam kegelapan"
Semasa saya mula memeluk Islam, saya tidak menyangka ianya akan memberi kesan kepada hidup saya. Islam tidak hanya membawa kesan, bahkan ia mengubah kehidupan saya sepenuhnya. Kehidupan berkeluarga : Saya dan suami saya amat mencintai satu sama lain. Cinta itu masih wujud. Tetapi apabila saya mula mempelajari Islam, kami mula menghadapi masalah. Pada masa itu saya tidak sedar yang saya sedang berubah. Dia menganggap sesatunya perkara yang menyebabkan saya berubah ialah lelaki lain. Saya tidak dapat membuatkan dia faham apa yang telah merubah saya kerana saya sendiri tidak tahu. Setelah saya sedar yang saya adalah seorang Muslim, ianya masih tidak membantu. Lagipun... sesatunya sebab yang boleh membuat seseorang wanita mengubah sesuatu yang penting seperti agamanya mestilah kerana seorang lelaki. Dia tidak menjumpai sebarang bukti berkenaan lelaki khayalan ini... tetapi ianya dianggap pasti wujud.
Perkahwinan kami berakhir dengan perceraian yang buruk. Mahkamah membuat keputusan bahawa agama yang bukan ortodoks (seperti Islam) akan mencacatkan perkembangan anak-anak kami. Maka mereka telah diambil dari jagaan saya. Semasa proses perceraian, ada suatu ketika di mana saya diberitahu yang saya mempunyai pilihan. Saya boleh meninggalkan agama ini dan kekal dengan anak saya, atau meninggalkan anak saya dan kekal dengan agama ini. Saya sungguh terkejut. Bagi saya ini bukanlah pilihan. Sekiranya saya meninggalkan Islam, saya akan mengajar anak saya untuk bersikap berpura-pura.... kerana saya tidak dapat menyangkal apa yang ada di dalam hati saya.
Saya tidak dapat meninggalkan Allah, buat masa itu mahupun selama-lamaya. Saya berdoa dengan sesungguh hati. Selepas tempoh masa 30 minit itu berakhir, saya tahu bahawa.. tiada tempat yang paling selamat bagi anak-anak saya melainkan di bawah lindungan Allah. Sekiranya saya meninggalkanNya, maka pada masa hadapan hilanglah jalan untuk saya menunjukkan kepada anak-anak saya keajaiban bersama Allah. Mahkamah diberitahu yang saya akan meninggalkan anak-anak saya di dalam tangan Allah. Jadi ini bukanlah bermakna saya telah menolak anak-anak saya. Saya meninggalkan mahkamah dengan kesedaran yang saya akan menderita tanpa anak-anak saya. Hati saya berdarah, walaupun saya tahu saya telah membuat keputusan yang betul. Saya mendapat kedamaian di dalam Ayat-Ul-Kursi. Hak penjagaan anak dan perceraian bukanlah sesatunya masalah yang terpaksa saya hadapi. Kesemua keluarga saya tidak dapat menerima pilihan saya. Kebanyakan daripada mereka tidak mahu langsung mengambil tahu lagi hal saya.
Ibu saya menganggap saya sedang melalui satu fasa ("phase") dan lambat laun akan keluar daripadanya. Kakak saya "pakar kesihatan mental" percaya saya telah gila dan patut disumbat ke hospital gila. Bapa saya menganggap saya patut dibunuh sebelum saya jatuh lebih jauh ke dalam Neraka. Tiba-tiba saya mendapati diri saya tanpa suami dan keluarga. Apa pula lagi yang akan saya hadapi selepas ini? Sahabat-handai Kebanyakan sahabat-handai saya menjauhkan diri dari semasa tahun pertama lagi. Sudah tidak seronok bergaul dengan saya. Saya tidak mahu ke parti atau bar. Saya tidak berminat mencari teman lelaki. Apa yang saya buat hanya membaca Quran dan bercakap tentang Islam. Sungguh membosankan. Pada masa itu saya masih belum mempunyai pengetahuan yang cukup untuk memahamkan mereka betapa indahnya Islam. Pekerjaan : Saya juga kehilangan pekerjaan. Walaupun saya telah memenangi pelbagai anugerah dalam bidang saya dan diiktiraf sebagai "trend setter" dan mampu menghasilkan wang, hari saya memakai hijab adalah hari akhir bagi pekerjaan saya. Saya sekarang tidak mempunyai keluarga, kawan mahupun pekerjaan.
Dalam semua keadaan ini, cahaya di dalam hidup saya ialah nenek. Dia sukakan pilihan saya dan menyertai saya. Saya tahu nenek saya memang seorang yang amat bijaksana. Sejurus selepas itu beliau meninggal dunia. Apabila saya fikirkan kembali, saya hampir merasa cemburu. Pada hari beliau mengucapkan Shahadah, kesemua amalan buruknya terhapus manakala amalan baiknya dipelihara. Beliau meninggal tidak berapa lama selepas memeluk Islam dan saya tahu BUKUnya akan berat di sebelah kebaikan. Itu sudah cukup menggembirakan saya. Apabila pengetahuan saya semakin bertambah dan saya dapat menjawab soalan-soalan dengan lebih baik, banyak perkara berubah. Tetapi impak paling besar ialah perubahan pada diri saya. Beberapa tahun selepas saya mengisytiharkan keislaman saya pada umum, ibu saya menelefon dan mengatakan dia tidak tahu mengenai Islam tetapi dia berharap saya akan kekal dengannya. Dis sukakan perubahan pada diri saya. Beberapa tahun kemudian dia menelefon lagi dan bertanya apa yang perlu dia lakukan untuk menjadi seorang Muslim. Saya memberitahunya apa yang perlu dibuat ialah mengetahui yang hanya ada satu Tuhan dan Muhammad ialah pesuruhNya. Jawapan yang diberikannya "Orang bodoh pun tahu itu.. tapi apa yang perlu dibuat sebenarnya?" Saya mengulang kembali apa yang telah saya katakan dan dia berkata :"OK.. tapi tak perlulah beritahu ayah lagi". Dia tidak tahu yang ayah saya telah berbual perkara yang sama beberapa minggu sebelum itu. Bapa kandung saya pula telah melakukannya dua bulan sebelumnya. Kemudian, kakak saya (si pakar mental) itu memberitahu yang saya adalah orang yang paling 'bebas' yang dia pernah kenali. Itulah pujian paling bermakna yang saya terima kerana ianya datang daripada dia. Ramai lagi anggota keluarga saya yang telah menemui Islam saban tahun.
Saya paling gembira apabila mendengar berita bahawa bekas suami saya juga telah memeluk Islam. Apabila ditanya mengapa, dia berkata yang dia telah memerhatikan saya selama 16 tahun dan dia mahukan anak perempuannya mendapat apa yang saya ada. Dia datang dan memohon maaf atas perbuatannya yang lalu. Saya telah lama memaafkannya. Anak lelaki sulung saya juga telah mengumumkan bahawa dia akan memeluk Islam. Saya telah dikenali kerana ceramah-ceramah yang saya berikan mengenai Islam, dan ramai pendengar yang telah memilih untuk menjadi Muslim. Ketenangan dalam jiwa saya terus bertambah dengan pengetahuan dan keyakinan saya terhadap kebijaksanaan Allah. Saya tahu Allah bukan sahaja Pencipta kita, tetapi juga sahabat yang paling akrab. Saya tahu Allah akan sentiasa berada di sisi saya dan tak akan menolak kita. Bagi setiap satu langkah saya kepadaNya, Dia datang dengan 10. Allah juga telah menguji saya, dan sebagaimana yang dijanjikan, memberikan anugerah lebih daripada apa yang saya harapkan. Beberapa tahun lalu, doktor memberitahu yang saya menghidap kanser di peringkat serius. Mereka mengatakan tiada lagi penawar kerana ia terlalu 'advanced' dan menyiapsediakan saya untuk menghadapi kematian. Saya mungkin hanya ada satu tahun untuk hidup. Saya risaukan anak-anak saya, terutamanya yang paling kecil. Siapa yang akan menjaganya?
Walaubagaimanapun saya tidak bersedih. Kita semua akan mati. Saya yakin kesakitan yang saya tanggung ini mengandungi hikmahNya. Saya tidak mengambil masa yang lama untuk menyedari akan RahmatNya. Sahabat-handai tiba-tiba hadir entah dari mana. Saya dikurniakan kesempatan menunaikan Haji. Yang lebih pentingnya, saya belajar betapa pentingnya bagi saya berkongsi kebenaran Islam dengan semua orang. Saya tidak kisah samada manusia, Muslim atau tidak, bersetuju atau sukakan saya. Saya hanya perlukan keredhaan Allah. Kasih-sayang yang saya mahukan hanya dari Allah. Tetapi, saya mendapati orang ramai, yang tanpa sebarang sebab yang nyata, telah menyayangi saya. Saya bersyukur, kerana saya pernah membaca, sekiranya Allah menyayangi seseorang, Dia akan membuatkan manusia juga mencintai orang itu. Saya tidak layak menerima semua kasih sayang itu.
Pastinya ini adalah salah satu hadiah lagi daripada Allah. Tiada kata untuk saya menerangkan bagaimana berubahnya hidup saya. Alhamdulillah! Saya amat gembira saya adalah seorang Muslim. Islam adalah hidup saya. Islam adalah denyutan jantung saya. Islam adalah darah yang mengalir dalam diri saya. Islam adalah kekuatan saya. Islam menjadikan hidup saya indah dan gemilang. Tanpa Islam, saya tiada apa dan sekiranya Allah berpaling dari saya, saya tidak akan hidup.
Maha Suci Allah
No comments:
Post a Comment