Me & My WiFe!!
Monday, March 21, 2011
PENJUAL KEREPEK..
Di kaki lima bank itu saya melihat orang ramai berkerumun. Tertanya-tanya juga hati saya apa yang berlaku, mungkinkah ada orang pengsan? Atau berlaku rompakan? Mungkin juga kemalangan.
Menghampiri kawasan itu segala pertanyaan terjawab. Rupanya orang ramai yang berhimpun di situ sedang menunggu giliran membeli produk makanan ringan yang dijual oleh seorang warga emas wanita.
Dalam pada mengatur langkah ke arah bank, mata saya melihat keadaan itu dengan lebih jelas. Terlihat oleh pandangan saya Mak cik warga emas itu sedang sibuk melayani pelanggannya.
Saya perhatikan kebanyakan yang singgah, membeli sekurang-kurangnya dua paket kerepek yang dijual dengan harga RM2.00 hingga RM10.00.
Setiap paket kerepek itu dibungkus kemas. Makcik itu yang agak saya berumur lebih kurang 80 tahun duduk bersila di atas simen berlapikkan sehelai kain. Di hadapannya ada beg-beg plastik dipenuhi pelbagai jenis kerepek.
Saya melihat kesayuan pada wajah makcik itu. Sekalipun saya tidak nampak dia tersenyum. Tapi tidak siapa peduli. Bagi mereka bukan senyum mak cik itu yang mendorong mereka berhenti membeli tetapi wajah sayunya.
Mungkin semula jadi wajahnya begitu atau kerana keadaan. Tidak siapa tahu apa sebenarnya! Pun begitu, naluri saya dapat membaca apa yang tersirat di dalam hati makcik itu.
Setiap orang yang berhenti bertanya produk jualannya pasti dilayan dengan baik. Semua yang bertanya saya lihat membeli sekurang-kurangnya satu paket kerepek. Namun apabila makcik itu mengembalikan wang baki, kesemuanya menolak. Saya dapat mendengar salah seorang pelanggan berkata, “Makcik simpanlah baki wang itu, buat belanja.”
Sambil memandang orang yang memberinya, makcik itu mengangguk-anggukkan kepalanya lalu memasukkan duit itu ke dalam sebuah bekas yang ada di atas ribanya.
Sebaik selesai urusan dan melintasi makcik itu saya turut berhenti di hadapannya. Selepas memberi salam dan bertanya khabar, saya bertanya berapa harga satu paket kerepek yang dijualnya.
“Ada RM2.00 ringgit, ada RM5.00 ada juga RM10.00 bergantung kepada besarnya. Nak ke...’’ tanya makcik itu. Suaranya agak gementar.
Saya melihat kedua-dua tangannya berkerut, urat-urat jelas timbul gambaran usianya yang sudah lanjut. Namun dia punya kecekalan. Tubuhnya pada saya masih sihat. Namun kudrat mungkin terbatas.
Memandang wajahnya saya mengangguk. Kemudian memilih dua paket kerepek pisang dan ubi. Seperti orang lain, saya juga tidak mengambil wang baki kerana sesiapa pun yang terpandang akan wajah makcik itu pastinya tidak akan tergamak mengambil semula wang bakinya.
Serentak dengan itu hati saya berperang dengan pelbagai perasaan yang bertukar ganti. Lebih-lebih lagi apabila memikirkan perihal makcik tersebut. Seorang warga emas yang kecil tubuhnya duduk bersila di atas simen menjual makanan ringan sedangkan sepatutnya dia berehat di rumah.
Dalam hati tertanya-tanya lagi, ke mana pergi anak cucu mahupun saudara maranya? Menyedari tidak ada yang menunggu giliran untuk membeli di belakang, saya meluangkan masa berbual singkat dengan makcik itu. Katanya, dia tidak tinggal di kawasan itu tetapi datang dari kawasan lain yang tidak mampu disebutnya. Mungkin tidak ingat atau dia enggan berterus terang.
Saya bertanya tidakkah dia merasa penat menunggu di situ sepanjang hari. Jawapannya, “Makcik sudah biasa... kalau tidak jual ini, macam mana nak cari duit untuk hidup?”
Jawapannya menjadikan saya termenung seketika. Satu jawapan yang bernas. Sayangnya ia lahir dari bibir seorang warga emas yang sepatutnya sedang bersenang lenang di rumah melayani cucu dan cicit.
Naluri saya terus tertanya-tanya mengapa makcik itu dibiarkan melakukan kerja tersebut seorang diri? Adakah kerana dia sendiri rela hati untuk berjual atau sebab terpaksa. Lama mencari jawapan tapi tidak ada yang pasti. Hakikatnya saya yakin makcik itu terpaksa bekerja untuk menyara hidupnya. Itu saja kerja yang mampu dilakukannya bagi menjana kelangsungan hidupnya.
Biarpun urusan di bank telah selesai dan anak-anak juga semakin resah kerana saya masih enggan berganjak dari tempat itu. Berat rasa hati hendak meninggalkan makcik itu.
Entah kenapa saya sering terperangkap dalam keadaan begitu. Hati mudah tersentuh terutama apabila melihat warga emas, wanita dan kanak-kanak yang menjalani kehidupan yang meletihkan. Namun saya bersyukur kerana masyarakat kita amat penyayang dan prihatin. Contohnya seperti yang saya ceritakan, tidak henti-henti orang berhenti membeli.
Saya tidak tahu berapa lama makcik itu sudah berniaga di situ tetapi saya yakin tempat itu bukanlah lokasi baru makcik itu mencari rezeki. Mungkin juga dia telah pergi ke merata tempat yang difikirnya sesuai untuk dia mencari rezeki.
Kawasan sekitar bank itu mungkin antara tempat dia singgah untuk menjual hasil produk jualannya kerana ramai orang lalu lalang.
Apa pun, siapa pun makcik itu, dari mana asalnya, sebagai manusia saya benar-benar tersentuh hati dengan kegigihannya. Saya pasti makcik itu punya semangat dan kekuatan yang hebat untuk melawan kepayahan hidupnya.
Kegigihan makcik itu patut menjadi contoh kepada warga emas lain yang hanya mengharapkan simpati dan belas ihsan untuk terus hidup.
Pada masa yang sama, saya mendoakan kesejahteraan makcik itu dan berharap dalam usia yang semakin meningkat dia tidak akan terus dibelenggu kepayahan untuk mencari rezeki dengan kudrat yang semakin lemah dan kesihatan yang entah sampai bila mampu bertahan.
Saya juga mengharapkan agar satu hari nanti, dalam masa yang terdekat ini, akan ada darah daging makcik itu yang menjenguk dan bertanya khabarnya dan seterusnya membawa dia ke dalam kehidupan yang lebih ceria dan sempurna bagi menghabiskan sisa-sisa hidupnya.
Menutup kata, pesanan saya untuk renungan kita bersama. Hidup ini adalah satu perjuangan yang tidak pernah ada penamatnya. Ia akan berhenti dengan sendiri apabila sampai saat kita di jemput Ilahi. Wallahualam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment