CIKGU Saad jenuh menegah. Sakit jangan dicari, bala jangan ditempah, kata Cikgu Saad sewaktu Haji Bidin bertekad mahu meneruskan rancangannya.
“Aku dah dapat ilham, cikgu!” Haji Bidin memberitahu selamba.Pada masa sama, segala kerisauan Cikgu Saad mengenai mara bahaya yang menanti Haji Bidin di Tanjung Tuan seolah-olah tidak menjentik kerisauannya.
“Tempat tu dah banyak makan korban!” Cikgu Saad terpaksa juga mengingatkan Haji Bidin.
“Tak apa. Aku dah hafal banyak doa. Harta karun tu dah boleh ambil sekarang!” Haji Bidin bertegas.
Sejak seminggu sebelum itu, Haji Bidin beriya-iya mahu membuktikan mimpi dialaminya sebelum ini boleh dijadikan petunjuk untuk mendapatkan harta karun dari sebuah kapal Belanda yang tenggelam di laut Tanjung Tuan.
“Tak apalah, cikgu. Kalau cikgu tak mahu ikut, saya terpaksa pergi sendiri!” Haji Bidin tidak memberi ruang kepada Cikgu Saad untuk terus-terusan membantah cadangannya menyelam di Tanjung Tuan.
“Malam esok aku pergi!” katanya, membuatkan Cikgu Saad meneguk air liur. Bimbangnya bukan kepalang.
Laut Tanjung Tuan yang berpusar sudah banyak memakan korban. Semuanya gara-gara mereka yang terlalu tamak mahu mendapatkan harta karun yang berlambak di dasar lautnya.
Namun di sebalik rasa kecewanya, Cikgu Saad berdoa juga semoga Tuhan melindungi keselamatan Haji Bidin, teman sekampungnya sejak kecil.
Haji Bidin sudah lama bergiat dalam kegiatan menyelam, terutama di kawasan laut yang diketahuinya ada tersimpan harta karun. Di Mersing, Pulau Sembilan dan Pulau Tioman, Haji Bidin pernah masuk ke dasar lautnya berkali-kali.
Koleksi barangan lama yang tersimpan di beberapa tempat yang dirahsiakan daripada orang lain, membuktikan betapa hebatnya Haji Bidin dalam kegiatan menyelam.
Cuma, bila dia menyatakan hasrat untuk menyelam di Tanjung Tuan, Cikgu Saad tidak boleh bersetuju. Cikgu Saad sudah lebih 10 tahun mengajar di sekolah berdekatan kawasan air pusar itu. Dia tahu sangat sejarah Tanjung Tuan.
Namun, jika Haji Bidin tidak mahu mendengarnya, apa boleh buat. Hanya doa boleh diberikannya.
Tiba saat dijanjikan, Haji Bidin bersendirian memacu botnya meredah laut malam di sekitar Tanjung Tuan.
Berbekalkan pelbagai petua, Haji Bidin perlahan-lahan mengarahkan laluan botnya menuju ke lingkaran air pusar yang menjadi lubuk harta karun selama ini.
Tidak menunggu lama, Haji Bidin menyelam berbekalkan oksigen mencukupi lebih lapan jam.
Gembira tidak kepalang bila dia terpandang longgokan besar di dasar laut yang ditumbuhi karang.
“Alhamdulillah!” dia bersyukur dalam hatinya sewaktu tangannya terpegang timbunan periuk dan pinggan lama yang tersorok di bawah karang berbunga halus.
Perlahan-lahan dia meletakkan pengumpil yang sentiasa dibawanya. Bermula dengan Bismillah, Haji Bidin terus mengumpil timbunan harta karun itu.
Keruh
Namun, alangkah terkejutnya Haji Bidin. Seluruh kawasan dasar itu tiba-tiba berkeruh. Pandangannya terus kabur. Rasa panik mula mendatang.
Keburrrrr! Satu bunyi seperti besi besar jatuh ke air kedengaran di belakangnya. Haji Bidin berpaling.
Cuma dia tidak terpandangkan apa-apa, kecuali dia terasa seperti ada tangan seseorang menyentuh tubuhnya. Haji Bidin cuba menepis dalam air keruh itu.
Dia berjaya mengelak, tapi tubuhnya terasa dipegang lagi. Bunyi keburrrr terdengar lagi, tetapi bunyi itu didengarnya di depan pula.
Terfikir ada yang tidak kena, Haji Bidin bertindak nekad. Dia naik dan mengapungkan dirinya ke atas. Saat itu juga dia teringatkan pesan Cikgu Saad.
Ketika berusaha melepaskan diri dari dasar laut yang keruh itu, Haji Bidin tiba-tiba kakinya terasa seperti ditarik seseorang. Semakin kuat dia melonjak, semakin kuat tarikan itu dirasakannya.
Tarikan itu terlalu kuat sehingga Haji Bidin gagal menghalangnya. Selepas itu dia tidak mendengar apa-apa lagi.
Hanya bila matanya terbuka, Haji Bidin menggigil dan terkejut sangat kerana dirinya ketika itu dikeliling ramai orang, termasuk polis dan pasukan penyelamat.
“Aku kat mana ni?” dia bertanya dalam suara yang lemah.
“Kat pantai Bagan Lalang!”
“Haaa!!!” Haji Bidin bagaikan tidak percaya.
Seminggu dia dirawat di hospital. Sebahagian paru-parunya dimasuki air. Paling menghairankan, pakaian menyelam yang dipakainya koyak rabak seperti dicakar besi tajam.
Seminggu jugalah, Cikgu Saad sabar menemankan kawan lamanya di hospital.
“Aku dah cakap. Nasib kamu baik, Bidin,” beritahu Cikgu Saad. “Sebelum ini semua yang lemas kat Tanjung Tuan timbul di Bagan Lalang. Namun, semuanya meninggal,” tambahnya.
Mendengar kata-kata itu, Haji Bidin semakin serik. Dia bersyukur panjang kerana Tuhan masih sayangkan dirinya.
Terasa juga dia bersalah kerana tidak mendengar kata-kata Cikgu Saad sebelum ini.
Hampir tiga minggu Haji Bidin 78888888888e di hospital. Selama tempoh itu, dia banyak berfikir.
Sebaik pulang ke rumah, Haji Bidin membuat keputusan yang tidak disangka-sangka.
Dia menjual semua peralatan menyelam, termasuk bot dimilikinya. Koleksi harta karun yang diambilnya selama ini tanpa kebenaran pula diserahkan kepada pihak berkuasa.
“Aku tak mahu menyelam lagi!” bisiknya kepada Cikgu Saad. “Tuhan dah beri petunjuk!” katanya.
No comments:
Post a Comment